Roketkini.com
DILEMA
Bila saya tengok Datuk Seri Najib Razak, hebat juga orangnya. Slogan 1Malaysia cukup baik. Pelbagai bantuan dia beri kepada kita. Bukan sahaja Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), dia juga ada Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan nanti kita akan ada perkhidmatan kesihatan 1Care.
Rasa-rasanya teringin juga nak undi Najib. Tapi dia tak bertanding macam Prresiden Amerika Syarikat. Jadi kalau suka dia pun, saya kena undi Barisan Nasional (BN) yang pakai simbol dacing.
BN bukan Najib seorang
Tapi BN itu bukan ada Najib seorang. Ada ramai menteri dan pemimpin-pemimpin parti komponen seperti UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PBB, SUPP, PBS, UPKO dan macam-macam lagi.
Banyak pula mereka ini terlibat dalam macam-macam skandal. Ada tuduhan rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan korupsi. Ini tidak baik untuk negara kalau pemimpin jenis ini yang berkuasa.
Malah, selepas didedahkan dengan salah guna kuasa, ada antara mereka yang bongkak menyalahkan orang lain pula. Macam seorang menteri yang mana suami dan anak-anaknya dapat projek jaga lembu. Dengarnya, habis duit rakyat disapu untuk beli kondo di merata dunia, sampai ke Kazakhstan. Daging lembu untuk kita di mana?
Lagi pun, saya sudah sedar bahawa bila kerajaan kata dia bagi peruntukan atau bantuan, itu bukan duit menteri. Itu duit rakyat. Duit itu datangnya dari kutipan cukai dan hasil-mahsul sumber dalam negara.
Ya tak ya juga. Kerajaan mana ada duit sendiri. Dia bukan berniaga. Dia hanya kutip dari rakyat, baik yang miskin mahu pun yang kaya. Lagi pun sumber-sumber negara seperti minyak, gas, pokok, balak, tanaman dan sebagainya, itu hak kita semua sebagai rakyat.
Mana Najib dapat duit?
Tapi kalau difikir balik, bagus juga Najib sanggup beri duit BR1M dan baucar buku dan macam-macam lagi. Apa salahnya kita dapat wang yang sepatutnya kita dapat.
Tapi dari mana pula datangnya duit itu? Mungkin dia buat pinjaman, agaknya. Tapi siapa pula nak bayar hutang itu?
Ada cerdik pandai berkata, zaman Tun Dr Mahathir Mohamad dulu pun dia buat macam itu juga. Dengarnya, bukan saja hari ini, malah bagi tahun-tahun mendatang dan dekad-dekad akan datang, kita dan anak cucu kitalah yang kena bayar semua hutang-hutang ini.
Kita kita bayar hutang kerajaan?
Kenapa pula kita kena bayar? Seperti yang dikatakan tadi, kerajaan bukan syarikat atau badan berniaga. Jadi, kita sebagai rakyatlah yang terpaksa bayar.
Bagaimana cara kerajaan paksa kita dan anak cucu kita bayar? Yang tiap-tiap hari kita kena kena bayar tempat letak kereta, cukai perkhidmatan telefon, cukai perkhidmatan restoran, tol lebuh raya, cukai pintu, bil elektrik dan air, dan entah apa-apa cukai dan caj lagi; yang itu semualah yang kita kena bayar bagi pihak kerajaan.
Memang tak ada salahnya kita bayar jika kerajaan sediakan perkhidmatan yang baik dan bermutu. Masalahnya di Malaysia, segala skandal, pembaziran dan kronisme, itu membaham semua wang rakyat. Jadi kenapa saya kena bayar untuk jadikan orang lain jutawan atau laksawan?
Kalau macam itu, malaslah saya nak undi untuk Najib. Kalau saya beri undi kepadanya, bermakna BN akan terus jadi kerajaan tanpa ada apa-apa perubahan. Malah, mungkin lebih teruk lagi.
Mungkin juga ramai pemimpin BN ingat undi saya kepada mereka bererti saya menghalalkan segala penyelewengan, rasuah dan kronisme mereka.
DILEMA…Maaf, itu tak sanggup saya lakukan. Mungkin saya kena lihat di sebelah sana. Mungkin ada sesuatu yang lebih baik dengan Pakatan Rakyat – PAS, PKR dan DAP. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan