Oleh Daing Yahya
Media massa UMNO hari ini melaporkan bahawa Najib Razak telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM150 juta untuk menaik taraf lebuh raya Pasir Gudang di negeri Johor.
Kita melihat begitu banyak sekali Perdana Menteri membelanjakan wang rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13 ini. Setiap kali datang program di mana-mana pun pasti ada saja pengumuman peruntukan itu dan ini. Seolah-olah beliau membelanjakan duit poketnya sendiri.
Kita tidak pasti adakah peruntukan RM150 juta ini ada dalam Bajet 2012 atau diumumkan sesuka hati sahaja. Banyak lagi peruntukan berbilion ringgit yang kita tidak pasti sudah disahkan dalam Bajet negara 2012. Wallah hu’alam.
Tak kiralah walau atas niat baik dan murni sekali pun, wang rakyat untuk rakyat itu juga mestilah dibelanjakan dengan telus dan berhemah. Kerajaan, selain diamanahkan untuk mengagih wang tersebut, wajib juga mengikut peraturan yang telah ditetapkan, barulah telus dan amanah namanya.
Tetapi, gaya pentadbiran Najib ini begitu terdesak sekali. Mentang-mentanglah rakyat sedang susah, mudah sekali Najib membeli hati rakyat dengan berbelanja sakan tanpa mengikut peraturan. Ini sudah jadi kes, niat menghalalkan cara!
Kemudian, setahu kita juga. Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini turut mendedahkan bahawa lebuh raya Senai-Desaru menghadapi masalah, kerajaan dilaporkan terpaksa menanggung kos pengambilan balik tanah bagi projek Lebuh Raya Senai-Desaru sebanyak 103%, iaitu RM375.60 juta! Itu pun duit rakyat.
Pembinaan Lebuh Raya Senai-Desaru bermula pada Julai 2004 dan siap hanya sepenuhnya pada Jun 2011 telah menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos pengambilan balik tanah yang berjumlah RM740.6 juta.
Malah laporan tersebut ada menyatakan bahawa, spesifikasi lebuh raya tersebut tidak mengikut piawaian yang telah ditetapkan. Ini projek apa ni? Bagaimana pula dengan RM150 juta yang Najib baru umumkan untuk lebuh raya Pasir Gudang?
KATANYA… semua peruntukan ini adalah untuk menaikan imej Najib di mata rakyat. Maklumlah, menurut kajian, populariti Najib naik mencecah 69 peratus. Nampaknya UMNO dan BN terpaksa bergantung pada imej Perdana Menteri untuk menang pilihan raya.
Rakyat bukan bodoh. Kerana itu UMNO-BN dan para menteri mereka terus merudum di mata rakyat. Kes sombong dan angkuh yang menjatuhkan lima negeri dan menghilangkan majority dua pertiga Parlimen dalam PRU 2008 masih terus menjadi amalan dan budaya UMNO-BN. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan