Selasa, 6 Mac 2012

Pemuda Pas dakwa Najib tak ikhlas minta maaf

NURUL NADIA MOHD KAMARUZAMAN


Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR - Dewan Pemuda Pas Pusat mempertikai keikhlasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memohon maaf kepada rakyat atas kesilapan Umno dan rakan komponennya pada masa-masa lalu sehingga membawa prestasi buruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-12 empat tahun lalu.

Ketuanya, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, tindakan Najib meminta maaf seolah-olah mengakui bahawa salah laku Umno selama ini adalah benar dan terbuti dakwaan Pas dan Pakatan Rakyat (PR) bukan fitnah.

Ketika mengadakan lawatan ke Kedah Sabtu lalu, Najib Razak membuat kenyataan memohon maaf secara terbuka dan berjanji akan memperbetulkan kesilapan-kesilapan lalu yang membawa kepada kehilangan banyak kerusi dan berjanji akan membetulkannya dengan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Najib yang juga Pengerusi BN melahirkan pandangan yang sama ketika mengadakan kunjungan ke Selangor awal minggu lalu.

"Selalunya orang minta maaf ni sebab salah. Justeru memang benarlah Umno salah dan gagal mentadbir negara.

"Selama ini kata Pas dan PKR fitnah dan sebagainya. Kenapa pula tiba-tiba sanggup turun padang menyatakan hasrat mereka memohon maaf kepada rakyat," kata Nasrudin kepada Sinar Harian Online.

Beliau berkata, kenyataan maaf tidak memadai kerana jika benar-benar memohon maaf, Umno perlu pulangkan hak rakyat yang mereka ambil selama ini, bukan sekadar cakap kosong.

"Dalam Islam, perbuatan memohon maaf kepada manusia bermaksud perlu pulangkan apa yang mereka ambil.

"Justeru, Umno kena beri semula apa yang mereka rampas, sebagai contohnya royalti minyak, bayaran pampasan kepada mangsa ISA.

"Kalau kata Umno memohon maaf tanpa bersebab, itu maksudnya buang tabiat namanya." katanya.

Nasrudin berkata, tindakan Umno memohon maaf adalah disebabkan terdesak dan merasakan Pilihan Raya Umum ke-13 ini terlalu sukar untuk mereka mengekalkan kedudukan seperti sekarang.

"Saya dapat rasa Umno berasa terancam pilihan raya kali ini sukar untuk mereka menang, sebab itu sanggup memohon maaf berulang kali kepada rakyat yang lebih 20 billion ini. Tidakkah itu satu perbuatan luar biasa Umno," katanya.

6 ulasan:

Hinamori berkata...

Jangan amalkan sikap suka sangat cari kesalahan. Perangai seperti tu tidak membawa sebarang kesan positif kepada diri.

Tanpa Nama berkata...

Najib dah minta maaf, jgn nak manipulasikan lagi perkara ini.

Sanih Alias berkata...

Najib bukannya meminta maaf dengan PAS. Namun meminta maaf dengan semua rakyat. Jadi PAS tidak perlu mahu mengkritik perkara ini.

Tanpa Nama berkata...

apa saja yang dibuat oleh kerajaan dan pemimpin, semuanya tidak betul pada pandangan pembangkang.

running man berkata...

Ikhlas atau tidak, PAS tetap cakap tidak ikhlas. Buang karan saja mahu argue isu macam ini.

Tanpa Nama berkata...

Najib jauh lebih baik dari pemimpin2 Pakatan dimana beliau sendiri tampil memohon maaf dan mengakui kesilapan beliau.. bagaimana pula dengan pemimpin2 Pakatan?? mustahil mereka tidak ada kesilapan.. jangan hanya kerana mereka mempunyai pemimpin anugerah tuhan, maka apa sahaja yang mereka lakukan adalah halal dan benar2 belaka..