Fazallah Pit
KUALA LUMPUR: Pemimpin KEADILAN meluangkan masa menziarahi keluarga mangsa banjir berikutan banjir kilat di bebarapa kawasan, antara malam tadi hingga awal pagi ini.
Malah, Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali membonceng motosikal untuk sampai ke beberapa kawasan banjir, baik di taman perumahan mahupun kawasan kampung.
“Membonceng motosikal untuk menziarahi mangsa banjir lumpur di Jalan Pinang dan Jalan Kempas, Kampung Melayu Ampang akibat hujan lebat,” katanya.
Menulis di twitter awal pagi ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu membonceng motosikal untuk menziarah 34 keluarga mangsa banjir di Kampung Melayu Ampang.
Beliau juga melawat Taman Bukit Mulia dan memantau kerja pembersihan tanah runtuh di Ukay Perdana yang dijalankan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan bomba.
Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin pula menziarah mangsa banjir lumpur Ampang di Lembah Jaya Utara dan sempat beramah mesra dengan mereka.
“Alhamdulillah, selesai lawatan. Mangsa-mangsa banjir menunjukkan kesabaran dan iman yang tinggi. Semoga diberi pahala dan diganti dengan yang lebih baik. Amin” tulisnya di twitter jam 2 pagi.
Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar pula merancang untuk menziarahi mangsa banjir di Kampung Pasir selepas menerima maklumat pada tengah malam.
“Banjir kilat di Kampung Pasir, kebanyakan rumah penduduk dimasuki air. Saya akan lawat esok, Insya-Allah,” tulis Ahli Parlimen Lembah Pantai itu melalui twitter.
Kuala Lumpur dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat tidak henti sejak petang, menyebabkan kawasan rendah dinaiki air.
Masalah itu sudah menghantui penduduk ibu negara sejak sekian lama tanpa sebarang penyelesaian konkrit dari kerajaan Umno Barisan Nasional (BN).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan