Salmiyah Harun
KUALA LUMPUR: Malaysia akan menghadapi kesukaran kewangan yang serius atau menjadi muflis kerana perbelanjaan yang terlalu boros bukannya pelaksanaan dasar gaji minimum sebagaimana yang didakwa oleh Tun Mahathir Mohamad.
Pakar ekonomi Dr Rosli Yaakob berkata, perbelanjaan boros kerajaan antara faktor yang meyakinkan negara ini bakal menjadi muflis seperti yang berlaku di Greece.
Jelasnya, kerajaan hari ini berbelanja terlalu boros sehingga terpaksa berhutang malah hutang itu meningkat tiap-tiap tahun.
"Ini mungkin berlaku kepada kerajaan Malaysia kerana lebih 10 tahun perbelanjaan kerajaan terus defisit. Defisit berterusan inilah yang boleh membankrupkan negara," katanya kepada Harakahdaily.
Kenyataan Dr Rosli itu sekali gus menyangkal dakwaan Tun Mahathir yang membayangkan negara akan munflis ekoran pelaksanaan dasar gaji minima bagi pekerja di sektor swasta di seluruh negara.
Sebelum ini, Pakatan Rakyat mengetengahkan dasar gaji minimum di dalam bajet alternatifnya, usaha ini mendapat sambutan baik rakyat akhirnya kerajaan terpanggil untuk melaksanakan dasar itu.
Kira-kira 30 peratus daripada tenaga kerja di negara ini yang kini berpendapatan di bawah RM900 menikmati kenaikkan gaji minimum yang belum ditetapkan lagi itu.
Menurut Dr Rosli, sebarang kenaikkan gaji melebihi kadar produktiviti pekerja adalah tidak wajar berlaku kerana ia akan merugikan majikan.
Bagaimanapun, katanya, jika kadar gaji selaras dengan produktiviti pekerja atau lebih rendah daripada kadar produktiviti maka keadaan ini tidak akan merugikan majikan.
Apa yang berlaku hari ini, jelasnya kenaikan produktiviti yang membawa pertambahan keuntungan kepada majikan dibolot semua oleh majikan tanpa dikongsi dengan pekerja.
Oleh yang demikian, katanya, polisi gaji minima yang mengambil kira pertumbuhan produktiviti adalah jalan terbaik bagi memulihkan pekerja dan majikan, sama-sama berkongsi dari hasil pertumbuhan produktiviti.
Justeru, katanya, kenyataan Tun Mahathir adalah satu kenyataan am seolah-olah penentuan gaji minima akan lebih tinggi daipada produktiviti pekerja.
"Ini tidak mungkin berlaku biasanya kadar gaji minima yang ditentukan oleh majikan adalah lebih rendah daripada nilai produktiviti pekerja. Mungkin gaji minima yang ditetapkan berdasarkan produktiviti inilah boleh bankrupkan negara,"katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan