Sabtu, 3 Mac 2012

Najib dicabar hapus semua tol yang untung berbilion ringgit

Oleh: Mohd Martin Kahar

KUANTAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dicabar menghapuskan semua tol melalui pengambil alihan syarikat konsesi yang mengaut keuntungan berbilion ringgit.


Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Azan Ismail berkata, pengumuman pemotongan 50 peratus tol Lebuhraya Cheras-Kajang membuktikan kerajaan mampu melaksanakan perkara tersebut, sebagaimana disaran dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat.

“Syarikat konsesi sudah mencapai keuntungan berbilion ringgit sejak mengambil alih dari kerajaan. Keuntungan projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dianggarkan melebihi RM7 bilion setahun.

“Dalam Buku Jingga kita tegas akan membatalkan kontrak pemegang konsesi sekiranya mendapati mereka telah mencapai keuntungan yang munasabah,” katanya ketika dihubungi KeadilanDaily.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata demikian mengulas pemansuhan bayaran tol RM1 menghala ke Kuala Lumpur di Plaza Tol Batu 9 dan bayaran 90 sen di Plaza Tol Batu 11 menghala ke Kajang, berkuatkuasa tengah malam tadi.

Azan berkata, kerajaan tidak menghadapi masalah dengan pemegang konsesi untuk menghapuskan tol kerana kebanyakan kos asal projek lebuh raya ditanggung kerajaan sebelum diswastakan.

Sebagai contoh beliau berkata, kerajaan menanggung kos projek PLUS sebanyak RM5 bilion tetapi syarikat ini mengaut keuntungan mencecah RM 18 bilion.

“Sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas mahu mengurangkan beban pengguna, Najib seharusnya mengambil kira keadaan ekonomi di mana menyaksikan kehidupan rakyat tidak menentu pada masa kini.

“Kita cabar kalau kerajaan ikhlas memikirkan tentang masalah rakyat batalkan semua tol sekarang juga. Kalau ekonomi rakyat meningkat, itu terpulang kepada kerajaan untuk mengutip tol kembali,” katanya.

Tiada ulasan: