Rabu, 7 Mac 2012

Laporan Akhir PSC Selesai Sebelum April

MSTAR ONLINE

KUALA LUMPUR: Laporan akhir cadangan penambahbaikan pilihan raya dijangka siap sebelum akhir bulan ini untuk dibentangkan di Parlimen pada 2 April, kata Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan bermesyuarat tiga kali lagi iaitu pada 14, 21 dan 22 Mac bagi mengemaskini laporan itu.

"Masih ada ruang untuk orang ramai beri cadangan kepada kita (sebelum laporan akhir siap)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PSC kali kelapan di Bangunan Parlimen, di sini, Selasa.

Mengulas lawatan anggota PSC ke United Kingdom, Jerman dan Denmark pada minggu lepas, Ongkili berkata hasil lawatan itu akan diteliti sepenuhnya dalam baki mesyuarat yang akan diadakan.

Antara yang akan diperhalusi ialah mengenai kelayakan sebagai pengundi, umur layak mengundi, daftar pemilih, persempadanan, pendaftaran automatik, pembiayaan politik, kerangka institusi pilihan raya, akses kepada media, undi luar negara, tempoh pilihan raya dan tempoh pengisytiharaan pilihan raya, katanya.

"Kami telah mengagihkan kepada lima peringkat jawatankuasa, satu mengenai perundangan, kedua proses pilihan raya, ketiga daftar pemilih, keempat institusi pilihan raya dan kelima sistem alternatif, dan kami akan membincangkannya lagi minggu depan," katanya.

Ongkili bagaimanapun berkata sistem di negara luar berkemungkinan tidak sesuai digunakan sepenuhnya di negara ini.

Sehingga 1 Disember lepas, jawatankuasa itu telah membentangkan laporan awal yang mengandungi 10 cadangan kepada Dewan Rakyat iaitu mengenai penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke-13; pengundian awal; pengundi tidak hadir luar negara; pengundi luar kawasan dan penukaran kawasan pendaftaran.

Cadangan turut menyentuh pembersihan daftar pemilih; pameran rang daftar pemilih tambahan; ketelusan proses mengundi; penambahbaikan proses pencalonan; dan pengukuhan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

PSC ditubuhkan pada 2 Oktober tahun lepas dan diberi enam bulan untuk mengemukakan cadangan. BERNAMA

12 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Lepas laporan akhir PSC ni dibentangkan nanti, harap2 tuntutan penubuhan RCI oleh penduduk Sabah akan segera diumumkan.

Anak Sabah berkata...

Semoga perbincangan cadangan menambah baik pilihan raya ke-13 akan dilaksanakan dengan lancar dan berjaya.

Anak Sabah berkata...

Harap pelbagai isu yang timbul sebelum ini boleh dibersihkan sebelum pilihanraya ke-13 diadakan untuk memastikan ketelusan dan integriti PRU seterusnya.

Tanpa Nama berkata...

Nampaknya kehangatan PRU semakin terasa. hanya menunggu pengumuman daripada PM. semua parti juga rasanya sudah membuat persediaan untuk menghadapi pilihanraya.

Tanpa Nama berkata...

semoga dgn ini, pilhanraya dpt dipastkan adil dan bersih.

Sanih Alias berkata...

Memang semua mengharap laporan PSC dapat siap secepat yang mungkin.

Sanih Alias berkata...

Semoga apa yang PSC lakukan akan dapat mengubah keadaan PRU 13 akan datang.

Hinamori berkata...

Cadangan yang dibuat oleh PSC dan diluluskan harus disegerakan dan dilaksanakan sebelum PRU13.

Tanpa Nama berkata...

bukankah ini menunjukkan parti pemerintah bersungguh2 mahu memperbaiki proses pilihanraya?? semua ini hanya berlaku di era Najib sebagai PM..

Tanpa Nama berkata...

namun lagi bagus jika kerajaan dapat bekerjasama dengan badan dari luar untuk memantau perjalanan pilihanraya di negara ini sekiranya semua cadangan2 dalam PSC tidak dapat dilaksanakan sebelum PRU13..

Tanpa Nama berkata...

Sangat berharap untuk melihat suatu transformasi di negara ini.

Tanpa Nama berkata...

Perlu ada badan bebas dari luar untuk memantau perjalanan proses pengundian di negara ini.