Oleh: Masdar Wahid
KUALA LUMPUR- Tindakan Pentadbiran perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenepikan hak Orang Asal daripada menerima skim Bantuan Rakyat 1Malaysia, akan menjadi antara sebab yang mendorong golongan itu menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
Pengerusi Biro Masyarakat dan Orang Asal KEADILAN, Suhaimi Said, mengulas dakwaan Dewi Malam, 52, dari Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Hulu Langat, Selangor, yang ditolak permohonannya dalam skim berkenaan.
“Tindakan pentadbiran Najib ini membuktikan Umno BN selama ini hanya memperalat orang asal jika adanya pilihan raya sahaja,
“Namun, jika golongan ini mohon untuk terima bantuan, kerajaan berdolak-dalik dengan bermacam alasan,” katanya ketika dihubungi.
Demi mengetahui penolakan permohonan itu melalui surat jawapan daripada Kementerian Kewangan, 16 Februari lalu yang antara lain menyatakan gajinya tidak berada di bawah paras RM3,000 dan namanya tiada dalam data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Dewi yang juga ayah empat anak dan tiada pendapatan tetap sejak tujuh tahun lalu juga cacat tangan kiri sehingga menyukarkannya mendapatkan pekerjaan.
Manakala seorang dari empat anak pula menghadapi masalah jantung.
Mengulas lanjut, Suhaimi berkata, hampir 100 peratus Orang Asal seluruh negara tergolong dalam miskin tegar.
“Jangan RM3,000, RM500 pun sukar diperolehi golongan ini kerana kebanyakan tanah mereka dirampas kerajaan sejak puluhan tahun lalu, walhal, tanah ialah antara punca untuk mereka mendapatkan mata pencarian untuk terus hidup,” katanya.
Skim BR1M menyaksikan kerajaan hanya memberikan bantuan kepada golongan tertentu, sedangkan mereka yang layak dinafikan hak mereka.
Contohnya, pada bulan lalu apabila seorang dermawan, berjaya memperoleh bantuan berkenaan meskipun tergolong sebagai individu yang berkemampuan.
Usahawan berkenaan, yang juga Pengerusi MCA Bahagian Bera, Datuk Tang Hock Lok berjaya menerima bantuan sebanyak RM500, sebelum mendermanya kepada pihak kebajikan.
Tindakan itu dipersoal oleh warga maya yang mempertikai mengapa Tang berjaya dalam permohonan bagi mendapatkan bantuan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan