Isnin, 19 Mac 2012

Kerajaan Negeri Akan Terus Ambil Tindakan Keatas Pencuri Pasir




SHAH ALAM : Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata pihaknya telah menjalankan pemantauan dan tindakan keatas sindiket mencuri pasir di Sungai Kundor, Semenyih sejurus selepas menerima laporan berhubung perkara itu baru-baru ini.

Yaakob berkata, penduduk digesa untuk terus melaporkan sebarang aktiviti pencurian pasir yang terbaru agar tindakan susulan boleh diambil oleh pihak berkuasa.

“Kalau ada (kegiatan terbaru) laporkan,” Yaakob berkata demikian apabila ditanya tentang kecurian pasir yang masih berlaku di kawasan Sungai Kundor, Semenyih.

Sebelum ini, penduduk yang ditemui TVSelangor berkata, sindiket yang tidak bertanggungjawab itu terus menjalankan aktiviti haram itu walaupun mereka telah beberapa kali membuat aduan pada pihak berkuasa.

TVSelangor difahamkan aktiviti melombong pasir itu dijalankan pada waktu malam manakala hasil bumi itu dikeluarkan pada waktu siang bagi mengaburi mata penduduk dan pihak berkuasa.

Apa yang dikhuatirkan, keghairahan sindiket merompak hasil bumi ini akan merosakan fizikal sungai sekaligus mendatangkan kesan kepada alam sekitar dan penduduk setempat.

“Masa serbuan dijalankan, kalau didapati lokasi kecurian itu ada peralatan, kita akan menyita, kalau ia adalah tanah persendirian kita akan rampas tanah itu,” jelasnya.

Yaakob berkata, kerjasama baik penduduk melaporkan perkara ini kepada pihaknya amat dihargai dalam usaha mematahkan aktiviti haram itu.

“Terima kasih banyak kepada penduduk yang prihatin melaporkan perkara ini dan pihak kami sentiasa mengalu-alukan sebarang bentuk cadangan dan pendapat dalam memberkas sindiket ini.

“Ada kalanya kita yang diatas tidak nampak, tetapi mereka yang dibawah nampak, jadi kerjasama seperti ini adalah dipuji dan kita akan segera bertindak,” Yaakob berkata demikian ketika ditemui TVSelangor sejurus selepas Majlis Perasmian Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor Kali ke-12 di sini hari ini.

Tiada ulasan: