ALOR SETAR - PKR tidak mahu terus bertikam lidah dengan DAP mengenai isu agihan kerusi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), sebaliknya mengingatkan rakan komponennya itu supaya kembali kepada garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat (PR) berhubung perkara itu.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Isa berkata, adalah tidak rasional sekiranya DAP masih mahu menuntut sebahagian kerusi yang dimenangi PKR pada PRU12.
“Saya sudah serahkan kepada pimpinan Pusat untuk capai keputusan dan akan akur apa jua keputusan kelak. Tidak perlu lagi pemimpin di peringkat negeri bergaduh sesama sendiri kerana kita sudah serahkan perkara ini untuk diputuskan Pusat,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan garis panduan sedia ada, mana-mana parti yang menang bertanding di kerusi yang diwakilinya pada PRU12, kerusi itu akan kekal ditandingi parti berkenaan pada pilihan raya akan datang.
“Tuntutan bertindih DAP itu turut babitkan kerusi yang dimenangi PKR, adalah tidak wajar untuk mereka tuntut kerusi itu. Antaranya kerusi Dun Bakar Arang dan Lunas serta parlimen Padang Serai,” katanya.
Wan Salleh berkata, pihaknya enggan memanjangkan lagi isu itu kerana yakin Sekretariat PR akan menyelesaikan kemelut itu dalam masa terdekat.
“Pintu rundingan masih terbuka di peringkat Pusat, biarlah pemimpin pusat bincang dan teliti mana yang terbaik untuk Kedah,” katanya.
Wan Salleh berharap selepas keputusan diumumkan Pusat kelak, DAP menerima keputusan dengan hati terbuka demi kesinambungan pentadbiran Kerajaan Negeri.
“Kita pemimpin di negeri perlu akur pada arahan pemimpin Pusat. Kita tidak boleh buat sesuka hati walaupun membabitkan isu di negeri ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan