Oleh: Masdar Wahid
KUALA LUMPUR: KEADILAN tampil mendedahkan tindakan Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFC) membeli lapan unit hartanah komersil di Bangsar, Kuala Lumpur, dengan menyalahgunakan pinjaman mudah oleh kerajaan.
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, dana NFC tersebut dijadikan cagaran oleh Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail untuk membeli 8 unit kedai di KL Eco City dengan harga keseluruhan RM 9.69 juta.
Katanya, cara itu dilakukan bagi mendapatkan pinjaman peribadi atas nama keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, termasuk pembelian hartanah berkenaan.
“Modus operandi digunakan mudah, sejumlah besar dana NFC didepositkan ke dalam bank tertentu sebelum keluarga shahrizat membuat pinjaman pembiayaan peribadi membeli hartanah mewah di bawah nama mereka, walau secara peribadinya, mereka tiada simpanan kukuh di bank tersebut,” katanya dalam sidang media di pejabat KEADILAN hari ini.
Beliau memberi contoh bagaimana suami Shahrizat yang mempunyai simpanan RM421 di sebuah bank mendapat pinjaman peribadi berbaki RM4,391,240, dengan bukti-bukti pendedahan hari ini turut diedar kepada media.
Menurutnya lagi, KEADILAN menganggarkan harga pasaran semasa bagi unit hartanah berkenaan boleh mencecah sehingga RM12 juta
“Kaedah menyalahguna dana awam bagi mendapatkan pinjaman peribadi atas deposit dana NFC seperti ini, menyalahi mandat yang diberi kepada NFC untuk membangunkan projek berkepentingan nasional.
“KEADILAN juga bimbang melihatkan rekod buruk pembayaran pinjaman termasuk tidak membayar bayaran pinjaman pada Julai dan Ogos dan turut diulangi Disember lalu,” katanya.
Justeru itu, beliau mendesak Datuk Seri Najib Razak menunaikan janjinya membekukan semua aset NFC termasuk simpanan tetap berjumlah RM71.4 juta.
“Memandangkan simpanan tetap ini berkait rapat dengan pembelian harta-harta peribadi, pengurusan NFC dan Shahrizat sebagai wakil keluarganya perlu menjamin sebarang masalah pembayaran pinjaman peribadi mereka, tiada kesan pada dana awam yang disimpan dalam bank,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan