Muhammad Faizal, | |
PETALING JAYA: Penduduk sekitar Bukit Gasing hari ini berhimpun berhampiran kawasan hijau bukit itu bagi membantah pembinaan 142 lot banglo di kawasan seluas 14.2 hektar di situ.
Pada himpunan itu, tandatangan juga turut dikumpulkan bagi menyatakan sokongan bantahan penduduk terhadap pembinaan tersebut yang dibimbangi berlaku tanah runtuh.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang turut hadir pada himpunan tersebut memberitahu bantahan itu bukan bermaksud penduduk tidak menyokong sebarang pembangunan tetapi biarlah dilakukan mengikut apa yang ditetapkan.
"Kita hadir hari ini adalah bagi mengumpul seramai yang mungkin bagi tujuan menyelamatkan Bukit Gasing, yang mana ia merupakan kawasan hijau terakhir berada di Lembah Klang yang perlu diselamatkan.
"Bantahan ini bukannya bermaksud kita tidak manyokong pembangunan tetapi setiap apa yang dilakukan biarlah mengikuti piawaian yang ditetapkan demi keselamatan penduduk sekitar," jelasnya.
Beliau yang juga Naib Presidn PKR turut mempersoalkan kenapa sehingga sekarang pemaju belum lagi mengemukakan laporan penilaian kesan alam sekitar.
"Saya ingin bertanya kenapa sehingga sekarang pemaju masih gagal untuk menyerahkan laporan penilai kesan alam sekitar kepada penduduk sekitar.
"Kalau ini tidak diberikan bagaimana penduduk akan berasa yakin dengan keselamatan mereka dalam tempoh jangka masa yang panjang," katanya lagi.
Tambahnya lagi, pemaju mahupun kerajaan jangan hanya memikirkan pembangunan tetapi mengabaikan keselamatan penduduk sekitar.
"Telah banyak bencana alam yang berlaku berhubung dengan tanah runtuh sebelum ini yang mengakibatkan kematian serta kerosakan yang teruk, jangan pula bila sudah berlaku maka berlakulah situasi tuduh menuduh sedangkan pada peringkat awal lagi banyak perkara tidak dipenuhi terutamanya tentang laporan penilaian itu," sambung Nurul Izzah lagi.
Projek pembangunan milik Gasing Meridian Sdn Bhd (GMSB) di Taman Gasing Indah itu bersempadanan dengan kawasan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.
Bagaimanapun di kawasan Petaling Jaya, segala aktiviti pembangunan telah dihentikan sejak beberapa tahun dahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan