Mengikuti perbicaraan kes saman lima orang bekas Tahanan ISA melawan Ketua Polis Negara Norian Mai, Menteri Hal Ehwal dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia mengimbau kenangan 11 tahun yang lalu. Bezanya ketika itu ialah kami turun naik ke Mahkamah berhari-hari tanpa jemu bagi membela nasib mereka yang telah ditahan tanpa dibicarakan. Mereka di dalam tahanan polis selama 60 hari dan kemudiannya dihantar ke Kamunting selama dua tahun.
Tahanan di bawah akta zalim ISA menghapuskan semua hak yang ada pada seseorang manusia bebas. Kami di luar berjuang tanpa jemu untuk membebaskan mereka dengan menggunakan segala ruang yang ada.
"REFORMASI! REFORMASI! UNDUR MAHATHIR UNDUR!" menjadi kalimah keramat ketika itu. Rakyat berani bangun melawan, mendedahkan kezaliman. Mereka ditangkap sebelum tarikh keramat 14 April yang dikenali sebagai "BLACK 14" bagi mengenang tarikh di mana Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atas Anwar Ibrahim. Satu perhimpunan besar-besaran telah dirancang untuk diadakan di perkarangan pejabat SUHAKAM di Kuala Lumpur.
Sehari selepas tangkapan media menyiarkan di muka hadapan tajuk mereka ditangkap di bawah ISA dengan niat untuk menggulingkan kerajaan dengan menggunakan kekerasan dengan memiliki senjata, bom, molotov cocktail. Juga menggunakan khidmat guru-guru silat. Gambar kesemua mereka yang ditangkap juga turut dipaparkan di muka hadapan sebagai individu-individu yang mahu menggulingkan kerajaan dengan kekerasan.
"Memiliki senjata, bom, pelancar roket dengan tujuan menggulingkan kerajaan dan mengancam keselamatan negara." Kenyataan Ketua Polis Negara, Norian Mai ketika itu. Dengan tuduhan itu mereka semua telah ditangkap dan dipisahkan secara zalim dari ahli keluarga.
Selama dua bulan mereka ditahan di Pusat Tahanan Reman Polis mereka telah disiksa dan dizalimi. Disogok dengan soalan-soalan yang tiada kena mengena langsung dengan tangkapan dan tuduhan ke atas mereka. Kami mendengar pengalaman perit mereka melalui keluarga ketika ditahan dan kemudiannya melalui penceritaan sendiri ketika dibebaskan.
Siapa yang berniat jahat dalam penangkapan mereka dan apakah tuduhan dan fitnah yang dikenakan ke atas mereka terjawab kini dalam kes saman yang sedang berlangsung bermula pada 27 Februari 2012 hingga 15 Mac 2012. Tarikh yang ditetapkan oleh Puan Hakim Lau Bee Lan, yang diharap mendengarkan kes ini dengan adil dan saksama.
Bekas tahanan ISA yang terlibat dalam tindakan saman di Mahkamah ini ialah Saari Sungib, Tian Chua (gambar kanan), Hishamuddin Rais, Dr Badrulamin Bahron dan Pak Din, Badaruddin Ismail.
Sebagai seorang yang mengikuti perjalanan tangkapan ini sejak hari pertama tangkapan pada tarikh 10 April 2001 sehingga saat mereka dibebaskan pada 2 Jun 2003, saya berusaha untuk tidak melepaskan peluang hadir ke mahkamah mendengar perbicaraan ini. Saya telah melihat bagaimana keluarga mereka menderita setelah dipisahkan secara zalim bila polis dan SB secara kejam dan kasar menahan mereka di rumah atau di pejabat. Bukan seorang dua polis yang hadir, bukan sebuah atau dua buah kenderaan polis yang datang mengepung tetapi di dalam jumlah yang banyak dan ramai dengan niat tidak lain untuk menimbulkan rasa takut di kalangan tetangga dan ahli keluarga. Seolah mereka penjenayah besar!
Selama dua bulan di tahanan reman polis mereka tidak dibenarkan langsung bertemu peguam pilihan mereka. Pertemuan keluarga juga sukar, mereka hanya dapat berjumpa sekali atau dua kali sahaja sepanjang penahanan. Itupun di bawah kawalan polis dan polis cawangan khas. Mereka tidak bebas, mereka tidak bebas bersuara dan menceritakan apa yang mereka lalui. Mereka di arah berlakon agar menunjukkan mereka "OK" di dalam tahanan polis dan keluarga tidak perlu risau dan keluarga tidak perlu berkempen kerana hanya akan membuatkan mereka ditahan dengan lebih lama lagi.
Apabila berada di dalam kamar Mahkamah Tinggi Sivil 5, Mahkamah Jalan Duta di hadapan Hakim Lau Bee Lan yang mendengar kes tersebut, saya merasa puas apabila setiap perlakuan zalim dan tidak berperikemanusiaan pihak polis dan Cawangan Khas khususnya didedahkan di dalam Mahkamah di hadapan Hakim.
"Diletakkan di dalam sel yang sempit, tiada ruang udara, tiada lubang cahaya, tiada tempat membuang air, hanya diberikan botol untuk membuang air, tidak tahu masa, tidak tahu siang dan malam." Ini antara kisah mereka.
Disoal siasat berjam-jam setiap hari bukannya dengan tujuan mencari bukti terhadap pertuduhan ke atas mereka sebaliknya ianya menjadi ruang untuk menaburkan fitnah kotor ke atas pimpinan pembangkang, khususnya Anwar Ibrahim, malah ke atas isterinya Wan Azizah dan puteri mereka Nurul Izzah.
"SB suka membebel-bebel, berulang-ulang, paling sakit hati ialah SB mengatakan Anwar Ibrahim memiliki lebih dari 30 orang wanita." Sebahagian dari pendedahan oleh Saari Sungib (gambar kiri) tentang soal siasat SB.
Sebenarnya sebagai seorang manusia saya tidak sanggup mencatatkan di sini soalan-soalan yang didakwa sebagai soal siasat ke atas tahanan ISA yang terbabit. Ianya sungguh tidak bertamaddun dan zalim. Tuduhan ke atas mereka ialah memiliki bom dan mahu menggulingkan kerajaan tetapi soalan yang dihamburkan ke atas mereka ialah tentang seks, fitnah seks ke atas Anwar Ibrahim khususnya tentang kebodohan pimpinan pembangkang contohnya "Syed Hussin Ali adalah seorang yang bodoh dan akan kekal bodoh."
Saya kira antara yang paling teruk dihina ialah Hishamuddin Rais apabila beliau dituduh sebagai seorang yang suka makan ular dan babi dan banyak lagi yang tidak mungkin sanggup saya menulisnya. Kita tunggu kelahiran bukunya jika ada.
Hati saya sakit bilamana pihak Pendakwaraya cuba mengatakan bahawa sebenarnya tahanan ISA ini tidak trauma dan disakiti sedangkan mereka terus menerus mengalami mimpi-mimpi ngeri hingga kini apabila mengingati kembali peristiwa tangkapan ISA. Ini diceritakan sendiri oleh isteri Saari Sungib, Puan Aliza Jaffar.
Malahan masakan Hishamuddin Rais (gambar kiri) yang terkenal dengan "Stand-up Comedy" tidak dapat menahan perasaan dan menangis sebak apabila dipinta oleh peguambela menceritakan perasaannya tentang penahanan yang tidak sah itu. Beliau mengambil masa yang lama untuk berkata dan Puan Hakim sendiri menghulurkan sekotak tisu untuk diserahkan kepada beliau. Ini adalah situasi yang amat memilukan. Bukan mereka pinta layanan istimewa tetapi mereka bukan banduan dan tidak pernah dibuktikan kesalahan mereka.
Dari keterangan saksi-saksi polis cawangan Khas yang terlibat menangkap, mereka mengaku tidak menjumpai apa-apa bukti tentang bom atau senjata malah surat-menyurat yang mengaitkan dengan pertuduhan. Namun polis-polis cawangan Khas ini jugalah yang menandatangani persetujuan agar mereka terus ditahan setelah tamat tempoh 48 jam yang didakwa terlalu singkat untuk mengumpulkan bukti. Padahal hingga kini tiada bukti yang pernah dijumpai.
Mereka terpaksa merengkuk dan dizalimi selama 60 hari oleh pihak Polis Di Raja Malaysia dan disambung lagi dipisahkan dari ahli keluarga selama dua tahun setelah kononnya Menteri Dalam Negeri ketika itu berpuashati dengan soal-siasat polis. Ini berlaku hanya kerana mereka berani melawan United Malays National Organisation - UMNO dan bukan kerana mereka mengancam keselamatan negara.
Maka betullah ungkapan dari lirik lagu rakyat: "Rakyat Berani perompak akan lari... Rakyat sekolah tidak akan dikalah...rakyat bersatu tidak akan ditipu".
Kita mesti harus berani melawan. Berani mendedahkan kezaliman sebagaimana beraninya lima orang bekas tahanan ISA ini mendedahkan kezaliman pemimpin dan kejahatan mereka yang bertanggungjawab menjaga keselamatan rakyat dan negara.
Salut untuk semua pejuang yang berani!
*Nashita Md Noor ialah ibu kepada empat orang anak, suri rumah, aktivis masyarakat, tiga kali ditangkap dan dua kali merengkuk dalam penjara. Kini dibicarakan untuk dua kes perhimpunan aman, PROTES kenaikan harga barangan dan himpunan Mansuh ISA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan