SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyambut baik pengumuman Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang memutuskan untuk berundur sebagai menteri selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat awal bulan depan, tetapi keputusan itu bukan remedi bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pengunduran Shahrizat sekali gus mengiyakan segala siri pendedahan PKR mengenai skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC), yang terbukti gagal dijawab secara berfakta oleh Ketua Wanita Umno itu dan keluarganya.
"Dalam satu aspek, tindakan Shahrizat ini membuktikan bahawa beliau bertanggungjawab atas segala tuduhan yang memalitkan beliau, sekiranya ini dilakukan atas kerelaan beliau. Dalam satu perspektif lain, ia mungkin dilakukan atas desakan daripada Umno sendiri yang semakin gusar dengan pendedahan demi pendedahan yang pastinya mengesani keyakinan rakyat kepada Umno-BN," katanya.
Shamsul Iskandar berkata, AMK menegaskan bahawa walau apa sekalipun faktor yang mendorong kepada peletakan jawatan Shahrizat, ia sekali gus bukan titik noktah kepada segala pendedahan dan akauntabiliti beliau selaku pihak yang terlibat dan Najib sendiri selaku Perdana Menteri.
"Budaya melafaz sumpah, meminta maaf, membuat penafian dan meletak jawatan tidak seharusnya menjadi remedi kepada Umno-BN.
Itu tidak menghalalkan segala bentuk penyelewengan yang telah berlaku melibatkan wang rakyat. Mereka yang bersalah harus dihadapkan ke muka pengadilan," katanya lagi.
Kata beliau, AMK juga percaya, ini tidak seharusnya memalitkan Shahrizat seorang sahaja.
"AMK melihat ramai lagi menteri, timbalan menteri, ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta pimpinan Umno-BN yang harus bertanggungjawab atas salah guna wang rakyat dan salah guna kuasa atas kapasiti kerajaan yang memerintah.
"Puluhan, malah ratusan pendedahan berfakta yang dibuat oleh pembangkang, yang sehingga ke hari ini gagal dijawab oleh pimpinan Umno-BN. Dan, ini membawa konotasi jelas, mereka yang terlibat dalam kes-kes ini, seharusnya juga meletak jawatan," kata beliau lagi.
Shamsul Iskandar juga berkata, AMK mendesak Najib agar bertanggungjawab secara kolektif mengenai hal ini.
"Dan, tidak keterlaluan untuk disebut, sekiranya kebertanggungjawaban ini tidak ditunjukkan oleh Umno-BN, maka kuasa undi rakyat akan dimanfaatkan dalam PRU-13 akan datang untuk memecat Umno-BN daripada mengemudi Malaysia tanpa sebarang kompromi," kata beliau lagi.
Isnin, 12 Mac 2012
AMK: Langkah Shahrizat undur bukan remedi buat Najib
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
apa jadi dgn pinjaman 250 juta,tak payah bayar balek ke. Habis duit rakyat di rompak oleh BN.
Catat Ulasan