Harakahdaily, | |
SHAH ALAM: Penduduk pangsapuri kos rendah yang menggunakan meter pukal hanya perlu melaporkan kepada Pesuruhjaya Bangunan (COB) mereka bilangan kediaman yang berpenghuni di pembangunan mereka untuk mendapat air percuma.
Demikian kata, Iskandar bin Abdul Samad, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan Negeri Selangor dalam kenyataannya.
Apabila mendapat laporan itu, katanya, kerajaan negeri kemudian akan menyampaikan maklumat itu kepada SYABAS yang akan membuat potongan pada bil meter pukal.
"Oleh itu MC, JMB, agen pengurusan, pemaju dan persatuan penduduk diminta berjumpa dengan COB mereka untuk mendapatkan air percuma tersebut," kata beliau dalam kenyataan itu.
Iskandar membuat kenyataan itu bagi menjelaskan tindakan kerajaan negeri untuk memberikan air percuma kepada penghuni flat yang tidak mendapat kemudahan itu ekoran berkongsi meter (meter pukal).
Melalui pendekatan ini, penghuni flat juga akan menikmati kemudahan 20 meter padu air percuma dari kerajaan negeri Selangor ini.
Program "LAPOR DAN DAPAT" akan berupaya memperlipat ganda bilangan penduduk rumah kos rendah mendapat air percuma.
Menurut Iskandar (gambar bawah), potongan yang diberikan oleh SYABAS adalah bersamaan nilai air untuk 20 meter padu kali jumlah kediaman yang berpenghuni.
Mereka kemudian mesti memberi potongan pada bil-bil meter individu penduduk, katanya.
Bukti potongan ini mestilah ditunjukkan kepada COB, tambah beliau.
COB juga akan melakukan pemeriksaan mengejut untuk memastikan bilangan kediaman yang berpenghuni adalah sepertimana yang dilaporkan.
Kaedah pemotongan pada bil meter pukal memang sedang dilaksanakan sekarang tetapi program "LAPOR DAN DAPAT" akan meringkaskan lagi prosedur permohonan.
Program ini akan bermula pada 1 April 2012.
Ekoran itu, penduduk pangsapuri rumah kos rendah digesa untuk mendesak MC, JMB, agen pengurusan, pemaju dan persatuan penduduk agar menghubungi COB supaya mereka mendapat air percuma.
Sistem kupon turut dilaksanakan sebelum ini di dalam usaha untuk memberi air percuma kepada penduduk rumah kos rendah tetapi ia juga amat rumit.
Pemotongan pada bil meter pukal dan sistem kupon dilaksanakan kerana migrasi dari meter pukal ke meter individu oleh SYABAS tidak dapat dilakukan secepat yang dihasrat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan