Selasa, 23 Oktober 2018

Tok Pa belum buat keputusan sertai PH

Sinar Harian /ASTRO AWANI
Tok Pa belum buat keputusan sertai PH
Mustapa memaklumkan masih belum membuat keputusan untuk menyertai PH selepas meninggalkan UMNO-BN. -Gambar fail
 
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mustapa Mohamed (Jeli-Bebas) memaklumkan masih belum membuat keputusan untuk menyertai PH selepas meninggalkan UMNO-BN.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pelawaan RSN Rayer (Jelutong-PH) ketika memulakan sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), hari ini.

"Saya nak puji Jeli, kita mengalu-alukan tindakan Jeli meninggalkan BN. Kalau boleh saya menjemput Jeli untuk bersama-sama di sebelah kami," kata Rayer.

Menurut Mustapa, beliau akan memaklumkan selepas membuat keputusan nanti.

"Terima kasih, saya belum buat keputusan lagi. Insya-ALLAH apabila saya sudah buat keputusan akan dimaklumkan kepada dunia," katanya yang mengumumkan keluar parti, September lalu.

Beliau sempat mengucapkan terima kasih kepada pengundi di Jeli yang menerima keputusannya sebagai ahli Parlimen Bebas selepas keluar UMNO-BN, baru-baru ini.

Beliau sempat menegaskan tidak akan tunduk dengan desakan sesetengah pihak yang menuntut beliau meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen Jeli.

"Saya memulakan ucapan dengan mengucapkan terima kasih kepada rakyat Jeli yang saya wakili kerana penghijrahan saya menjadi ahli Parlimen bebas diterima baik oleh mereka.

"Insya-ALLAH saya akan terus berjuang demi mereka. Saya tidak akan meletakkan jawatan seperti didesak beberapa pihak, saya akan terus memperjuangkan kepentingan rakyat," katanya.

Tiada ulasan: