Isnin, 15 Oktober 2018

Pemuda Beruas buat kejutan cuba raih jawatan presiden MCA

 
   

Persaingan untuk jawatan presiden MCA yang akan berlangsung melalui pemilihan parti pada awal Nov ini melihat perkembangan menarik hari ini.

Apabila tempoh pencalonan ditutup pada jam 5 petang tadi muncul calon yang tidak dijangka, malah dipercayai termuda dalam sejarah pertandingan bagi jawatan presiden.

Asalnya untuk jawatan presiden hanya dua calon akan menawarkan diri iaitu Anggota Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan bekas naib presiden Gan Peng Sieu.

Bagaimanapun petang tadi muncul calon ketiga iaitu Ketua Pemuda MCA Beruas Ngoo Teck Keong.

Ngoo yang baru berusia 30 tahun mengemukakan sendiri pencalonannya tanpa disedari banyak pihak dan hanya disedari selepas dia meninggalkan dewan berkenaan di Wisma MCA Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Sementara itu bagi jawatan timbalan presiden, ia menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Timbalan Pengerusi MCA Johor Tee Siew Kiong dan Pengerusi MCA Perak Datuk Dr Mah Hang Soon.

Tee ialah regu kepada Gan, manakala Mah berpasangan dengan Wee.

Untuk rekod jawatan presiden kosong apabila penyandangnya Datuk Seri Liow Tiong Lai enggan mempertahankan jawatannya pada pemilihan kali ini.




MCA mencatat prestasi buruk pada pilihan raya umum lalu apabila hanya seorang calonnya berjaya memenangi kerusi parlimen, iaitu Wee.

Bagi empat jawatan naib presiden seramai sembilan calon menawarkan diri, serta 54 yang lain mencuba nasib bagi mengisi 25 tempat sebagai anggota jawatankuasa pusat.

Untuk sayap wanita tiada pertandingan berlaku untuk semua jawatan. Justeru ia menyaksikan Datuk Heng Seai Kie kekal sebagai ketua, manakala Wong You Fong tidak dicabar mana-mana calon bagi jawatan timbalan ketua.

Sayap pemuda pula menyaksikan pertembungan satu lawan satu bagi jawatan ketua iaitu membabitkan Nicole Wong Siaw Ting dan Ng Kian Nam.

Persaingan peringkat pemuda kali ini menjadi menarik kerana buat kali pertama calon wanita terlibat untuk merebut jawatan ketua.


Tiada ulasan: