Sabtu, 20 Oktober 2018

Nur Jazlan tak setuju Zahid direhatkan

MALAYSIAKINI

   

Ketua Umno Bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed tidak bersetuju Presiden parti itu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercuti susulan pertuduhan rasuah terhadapnya.

"Kita tidak bersetuju sebarang bentuk saranan atau cadangan agar Datuk Seri Zahid direhatkan. Beliau dipilih oleh parti (sebagai presiden) pada pemilihan yang lalu. Jadi untuk apa beliau direhatkan?," kata Nur Jazlan dalam suatu kenyataan hari ini.

Semalam, Zahid dikenakan 45 pertuduhan rasuah dna pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Susulan itu, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hassan memaklumkan Umno memiliki prosedur operasi standard (SOP) sejak 2009 yang memperuntukkan pemimpin kanan yang berhadapan pertuduhan jenayah perlu bercuti daripada jawatannya.

"Bagaimanapun, jika mereka kemudiannya didapai tidak bersalah, pemimpin berkenaan boleh meneruskan kedudukan mereka," kata Hassan.

Bagaimanapun, Nur Jazlan mendakwa pertuduhan yang dikenakan terhadap Zahid bermaksud untuk melemahkan Umno dan memberi amaran sebarang pemimpin yang menggantikan Zahid juga akan didakwa.

"Pendakwaan ini dibuat secara terpilih. Hendak memburuk-burukkan pemimpin Umno dan akhirnya parti itu sendiri. Kalau boleh sehingga mahu Umno itu diharamkan.

"Oleh itu, saya rasa penting bagi ahli Umno di semua peringkat untuk tidak terburu-buru.

"Kita tunggu keputusan mahkamah," katanya.


Tiada ulasan: