Isnin, 22 Oktober 2018

Menteri Kewangan berbohong di Dewan Rakyat

USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI

 
 
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng sekali lagi hari ini 22 Oktober 2018 di Dewan Rakyat telah memfitnah Kerajaan Kelantan kononnya tidak dapat membayar gaji kakitangan. Nampaknya Menteri Kewangan ini begitu berdendam dengan Kelantan yang telah ditadbir oleh PAS sekian lama. Padahal soalan tambahan yang diajukan Dato Takiyuddin Hassan (PAS - Kota Bharu) adalah soalan biasa yang tidak mempunyai unsur provokasi.
 
Apa yang diutarakan oleh Kota Bharu ialah berhubung pandangan kerajaan jika Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu memulakan inisiatif sendiri untuk menyiapkan projek ECRL? Menteri Kewangan dengan sinis menjawab, "Bagaimana mahu siapkan ECRL jika bayar gaji kakitangan pun tidak mampu?"
 
Di dalam Dewan, kami ahli-ahli Parlimen dari Kelantan menuntut agar Menteri Kewangan menarik balik kenyataannya kerana ia mengelirukan Dewan namun tidak dibenarkan. Kita minta dibuktikan dengan jelas bilakah Kelantan tidak mampu membayar gaji kakitangannya?
 
Jika disebut bahawa Kelantan menerima bantuan Kerajaan Persekutuan untuk membayar gaji, perlulah dinyatakan bahawa tidak ada satu pun negeri di Malaysia yang tidak menerima peruntukan di bawah Perbendaharaan Negara. Saya merujuk kepada data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada 27 Oktober 2017 di bawah tajuk Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2018.
 
Di dalam Lampiran E iaitu di bawah tajuk Pemberian Sebenar Kepada Kerajaan Negeri Tahun 2016, Kelantan dinyatakan telah menerima sejumlah RM397,989,333.00.
 
Jika dibandingkan dengan Negeri Selangor, negeri tersebut telah menerima sebanyak RM761,803,058.00 di bawah peruntukan Perbendaharaan Negara untuk tahun 2016.
 
Tidaklah dinafikan kelayakan Selangor menerima peruntukan yang lebih banyak kerana jumlah pemberian tersebut berasaskan kepada keperluan tersendiri termasuklah bilangan penduduk. Namun ia mengesahkan bahawa tiada negeri yang tidak menerima wang daripada Kerajaan Pusat.
 
Jika ditinjau kepada senarai berkenaan, dapat dilihat bahawa Negeri Johor menerima sebanyak RM802,219,813.00, Kedah (RM373,288,565.00), Pahang (RM391,115,129.00), Sabah (RM1,086,260,027.00) dan Sarawak (RM1,159,277,479.00).
 
Fakta-fakta ini menjelaskan bahawa Menteri Kewangan hari ini sekali lagi berbohong dan memfitnah Kelantan di dalam Dewan Rakyat.
 
USTAZ AHMAD FADHLI SHAARIAhli Parlimen Pasir Mas 
HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: