Sabtu, 20 Oktober 2018

Khaled: Batal ECRL tapi mahu buat jambatan bengkok?

Khaled Nordin  

 

 


ULASAN l Saya sejujurnya kesal dengan pengumuman bahawa kerajaan akan mengadakan mesyuarat dengan Singapura untuk melihat kebarangkalian menghidupkan dan menjalankan semula projek jambatan bengkok yang menghubungkan Johor dan Singapura.

Lebih dikesalkan, cadangan ini datang daripada menteri besar Johor sendiri.

Keseluruhan projek jambatan ini telah dihentikan pada tahun 2006 kerana Malaysia perlu mengambil keputusan yang betul untuk tidak akur kepada tuntutan timbal balik Singapura yang melibatkan penjualan pasir dan penggunaan ruang udara Johor oleh Singapura, susulan bangkangan kuat negara tersebut ke atas projek ini.

Keputusan tersebut dijelaskan selepas kejayaan Malaysia meneliti Wayleave Agreements, Perjanjian Air Singapura-Johor 1961 dan 1962, Perjanjian Pemisahan 1965 dan setelah mengambil kira nasihat daripada Pejabat Peguam Negara.

Kerajaan sering menegaskan bahawa keputusannya adalah keputusan politik, yang bersandarkan sentimen, kedaulatan dan integriti rakyat Malaysia. Kesannya, Gerbang Perdana Sdn Bhd telah dibayar lebih daripada RM100 juta sebagai ganti rugi untuk menghentikan cadangan projek tersebut.

Projek tersebut dianggarkan menelan belanja sebanyak RM1.1 bilion pada tahun 2003. Mengikut kadar semasa, kos projek ini boleh mencecah sehingga tiga atau empat kali ganda.

Adalah memeranjatkan untuk sebuah projek mega pada skala yang sangat besar ini mahu dihidupkan semula sedangkan matlamat kerajaan kini adalah untuk menguruskan struktur fiskal negara dengan lebih baik terlebih dahulu.

Tumpu projek prorakyat

Justeru, adalah tidak perlu untuk berbelanja secara tidak wajar dan terlibat dalam percaturan genting untuk membincangkan kebarangkalian menghidupkan semula projek ini semata-mata atas kepentingan politik.

Sedangkan pembinaan kereta api laju yang akan memangkin pelbagai aktiviti ekonomi di wilayah selatan Malaysia ditangguhkan kerana kedudukan fiskal negara yang lemah. Jadi, mana mungkin kerajaan mempertimbangkan untuk melabur wang secara besar-besaran dalam pembinaan jambatan bengkok.

Kita memerlukan keutamaan yang lebih besar dalam projek infrastruktur yang membawa faedah kepada seluruh Johor dan Malaysia secara keseluruhannya.




Malah, projek infrastruktur yang berimpak besar seperti aliran mass rapid transit line (MRT3), East Coast Rail Link (ECRL), saluran paip gas asli Sabah telah dibatalkan.

Jumlah dana yang sedemikian boleh diperuntukkan kepada pelbagai lagi projek prorakyat yang lain, yang boleh meringankan beban kos sara hidup atau melonjakkan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam.

Sekiranya perbincangan berkenaan pembinaan jambatan ini diteruskan, saya menggesa kerajaan negeri Johor untuk melakukan satu analisis cost-benefit ke atas kesesuaian untuk menghidupkan semula projek ini.

Kajian sedemikian juga mesti mempertimbangkan kesan ke atas kedaulatan negara kita memandangkan kita boleh menjangkakan bahawa Singapura akan menuntut satu timbal balik yang lebih besar susulan pelaksanaan semula jambatan ini, yang sudah pastinya akan memberi kesan yang jauh lebih kritikal kepada kedaulatan negara kita.

Lebih penting, perkembangan ini menggambarkan bahawa kerajaan hari ini hanya lebih berminat untuk meneruskan agenda dan impian Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak tercapai sebelum ini.

Ini bukanlah sesuatu yang baru dan ini pastinya bukan Malaysia Baru.

MB perlu ada pendirian sendiri

Pada masa yang sama, saya sangat pelik dan bimbang dengan sikap kerajaan negeri Johor, khususnya menteri besar yang nampaknya hanya menurut dan akur sahaja dengan segala arahan dan kemahuan Putrajaya.

Lebih pelik dan membimbangkan, kerajaan negeri pula yang kelihatan lebih bersungguh-sungguh untuk menghidupkan projek jambatan bengkok ini.

Sedangkan kerajaan negeri, atas dasar Malaysia Baru, mestilah mempamerkan pendirian sendiri yang berasaskan keperluan dan kemahuan rakyat Johor. Bukannya mengambil segala impian kerajaan pusat dan menjadikannya agenda kerajaan negeri.

Yang terakhir, menteri besar Johor seharusnya menegaskan keperluan Johor yang lebih utama.

Misalnya, pelebaran lebuh raya, pertambahan sekolah dan hospital besar serta inisiatif berfokus yang dapat membantu melindungi dan merancak masa depan komoditi sawit di Johor atau menyediakan jaringan keselamatan dan kebajikan sosial yang lebih pelbagai.

Kesemua ini jauh lebih diperlukan oleh negeri Johor berbanding menghidupkan kembali projek mega pembinaan sebuah jambatan bengkok yang telah kita sendiri batalkan sebelum ini.


*  DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN merupakan bekas mentebi besar Johor. 

Tiada ulasan: