Ahad, 21 Oktober 2018

Jemaah penasihat Umno akan bincang kedudukan Zahid, kata Ku Li





KUALA LUMPUR: Jemaah Penasihat Umno akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat untuk membincangkan soal parti dan kedudukan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden parti.

Pengerusi Tengku Razaleigh Hamzah berkata hasil mesyuarat akan dibentangkan kepada majlis tertinggi Umno untuk tindakan selanjutnya.

“Berdasarkan apa yang berlaku baru-baru ini…sudah pasti Jemaah Penasihat Umno akan mengadakan mesyuarat kerana ia memberi kesan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran buku “The End Of Umno? Post GE-14: Where is Umno headed after GE14?’ oleh Bridget Welsh hari ini.

Beliau mengulas tindakan undang-undang yang sedang dihadapi Zahid. Semalam, bekas timbalan perdana menteri itu didakwa dengan 45 pertuduhan di Mahkamah Sesyen.Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh berkata Umno perlu mengadakan pemilihan semula bagi jawatan presiden sekiranya Zahid terpaksa melepaskan jawatannya.

“Saya membaca berita di akhbar dan blog yang meminta Ahmad Zahid bercuti dan ada juga yang mahu beliau melepaskan jawatan presiden namun desakan itu bukanlah daripada anggota akar umbi parti. UMNO masih teguh kerana ia memiliki 49 kerusi di Parlimen,” katanya.

Tengku Razaleigh berkata pada pandangannya jalan terbaik bagi Zahid dalam kes ini ialah bercuti atau meletak jawatan kerana sebelum ini ada pemimpin tertinggi Umno berbuat demikian apabila terlibat dengan pertuduhan di mahkamah.

Pada masa sama, pemimpin veteran berusia 82 tahun itu menyatakan hasrat untuk berundur selepas penggal ini tamat.

Tiada ulasan: