Rabu, 29 Ogos 2018

Soi Lek bakal buat comeback di PRK Balakong

Mohd Zaini Samsu Hadi

Soi Lek
Soi Lek


BALAKONG – Bekas Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek menyatakan kesediaan untuk membantu calon parti itu berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong.

Calon MCA, Tan Chee Teong ada menerima pesanan menerusi aplikasi Whatsapp daripada Soi Lek yang menyatakan mengenai hasratnya itu.

Malah, bukan sahaja Soi Lek sahaja tetapi ramai lagi pimpinan daripada parti berkenaan turut menyatakan perkara sama.

“Kalau dia (Soi Lek) ada masa dia akan turun tidak kira di mana. Parti ini kami percaya apa yang boleh membuatkan Malaysia jadi lebih baik. Kami buat untuk rakyat dan bukan satu bangsa.

“Yang penting golongan B40 harus dijaga. Kawasan saya terlalu banyak B40,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan sidang media di sini hari ini.
Tan Chee Teong
Calon MCA N.27 Balakong, Tan Chee Teong bercakap pada 
sidang media sempena Pilihan Raya Kecil N. 47 Balakong di 
Pusat Gerakan MCA Cheras, Selangor. foto HAZROL ZAINAL,
Chee Teong berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Soi Lek menghubunginya bagi membantu kempen PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong.

Terdahulu, ura-ura mengatakan veteran MCA itu akan kembali semula ke dalam parti berkenaan dan berhasrat untuk bertanding semula jawatan sebagai presiden parti.

Petanda itu dilihat selepas Soi Lek yang berusia 71 tahun mendapat sokongan daripada akar umbi parti berkenaan terutama di Johor.

Malah, terdapat kemungkinan bahawa Soi Lek boleh bertanding jawatan presiden meskipun sebelum ini beliau terpalit dengan skandal seks pada tahun 2008 menyebabkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Penggaram itu meletak jawatan.

Bagaimanapun, langkah yang mungkin diambil oleh Soi Lek itu mendapat tentangan daripada veteran MCA lain yang menyifatkan jika perkara itu berlaku parti tersebut bakal kehilangan lebih banyak sokongan.

Ini kerana, ada pihak mendakwa kemunculan semula bekas presiden itu disifatkan sama seperti UMNO yang tidak pernah mahu berubah kerana mengekalkan pemimpin lama.

Dalam sidang media yang diadakan hari ini beberapa pimpinan MCA dari Johor dilihat hadir menemani Chee Teong dan menguatkan lagi spekulasi yang mengaitkan langkah Soi Lek itu.

Sementara itu, pada sidang media tersebut Chee Teong mengulangi pendirian untuk memperjuangkan isu pemansuhan tol yang menjadi perkara utama dan selalu dirungut oleh penduduk di kawasan berkenaan.

Ujarnya, penduduk di Balakong sememangnya terkesan dengan masalah tersebut apabila kedudukan penempatan mereka terkepung dengan tol. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: