Jumaat, 31 Ogos 2018

Pesta gay 2018: Tidak takutkah tingkat 30 roboh kerana bala?

ISMA WEB

Tahniah Jakim, Khalid Samad tetapi jangan terhenti dengan serbuan di kelab sahaja kerana pesta terbesar gay bakal mula 30 Ogos ini



SYABAS dan tahniah Pedang ucapkan kepada pihak berkuasa, terutama Kementerian Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana berusaha membanteras kegiatan tidak bermoral golongan songsang sama ada lelaki atau perempuan. Aktiviti yang dilaknat.

Pedang juga ucap tahniah dan terima kasih kepada Menteri Wilayah, Khalid Samad kerana menyokong tindakan pihak berkuasa menyerbu sebuah kelab gay terkenal di ibu negara, baru-baru ini.

Sebelum ini, Pedang marah Khalid dan menteri agama Malaysia, Mujahid Yusof Rawa, kerana ‘beri muka’ sangat kepada golongan songsang, terutama selepas Pakatan Harapan (DAP, PKR, PAN dan Bersatu) membentuk Kerajaan Persekutuan dan beberapa kerajaan negeri.

Pedang marah sebab mereka seolah-olah tidak tahu atau mungkin juga buat-buat tak tahu, bahawa satu pesta gay terbesar tahun ini di Malaysia akan diadakan pada 30 Ogos hingga 1 September ini di Kuala Lumpur.

Hanya selepas kedua-duanya dituduh oleh seorang aktivis masyarakat dalam video baru-baru ini, barulah rasanya mereka menyedari bahawa pesta gay akan diadakan pada tarikh itu. Tapi, hanya setakat mereka pula membuat laporan polis terhadap wanita berkenaan, selainnya tiada tindakan yang dilakukan.

Pedang sokong jika Khalid yang menjadi Ahli Parlimen di kawasan Pedang, dan Mujahid atau mana-mana menteri, jika mereka buat kerja demi kebaikan Islam dan Melayu, menghapuskan aktiviti tidak sihat, terutama yang boleh menjejaskan imej Islam dan negara.

Pesta gay yang hendak dianjurkan itu terang-terang boleh menjejaskan imej Islam dan Malaysia. Berapa kerat sangat golongan itu yang menyetujuinya, berbanding jutaan lagi rakyat Malaysia yang menentang.

Kelab gay itu dikatakan telah beroperasi sejak 30 tahun lalu di kawasan segi tiga emas di Kuala Lumpur. Kalau di negara lain, lantak lah. Ini di Malaysia yang majoriti rakyatnya beragama Islam, sedang Islam melaknat perbuatan sumbang dan songsang itu.

Kata Khalid, kerajaan sangat serius membanteras pemahaman, serta gejala songsang dan radikal ini dan semoga inisiatif yang diambil itu dapat membendung budaya LGBT daripada terus merebak ke dalam masyarakat kita.

Baguslah wahai YB Khalid. Anda tidak menongkah arus. Biarlah apa pun pihak minoriti, terutama golongan lesbian, gay, biseksual atau transgender hendak kata, teruskan tugas anda sebagai pemimpin Islam.

Tapi, bukan sekadar tangkap 20 lelaki gay dalam kelab Blue Boy itu saja dan mengarahkan mereka menjalani kaunseling. Yang besar dan bakal diadakan 30 Ogos ini perlu dihalang terlebih dahulu.

Dan, pesta gay terbesar tahun ini yang digelar ‘Resurrection 2018’ dikatakan akan diadakan di sebuah bar terkenal di tingkat 30 sebuah hotel. Pedang harap bala tak turun ketika pesta itu diadakan, kerana bala yang turun akan menimpa orang baik-baik juga yang berada di bawahnya.

Demikian juga aktiviti LGBT lain. Jika tahu ada kumpulan itu yang menganjurkan pesta, maka cepat-cepatlah kita halang.

Golongan LGBT dan penyokong mereka ini pandai. Mereka mendakwa tindakan yang diambil terhadap mereka adalah satu diskriminasi dan melanggar hak asasi manusia, sedangkan bukan kita hendak mendiskriminasi mereka, tetapi kita menghalang kegiatan sumbang itu.

Pedang setuju juga pendapat sesetengah pihak, termasuk wakil rakyat PH yang kata golongan songsang ini juga rakyat Malaysia dan tidak boleh didiskriminasi. Memang kita tidak mendiskriminasikan mereka, cuma kita menghalang mereka daripada melakukan gejala tidak sihat, jenayah dan melanggar undang-undang.

Apakah, menghalang seseorang daripada melakukan perbuatan yang melanggar undang-undang maka dikatakan satu diskriminasi? Dalam undang-undang sivil dan syariah di Malaysia sudah dijelaskan kesalahan yang boleh membawa hukuman denda, penjara dan sebat bagi gejala itu.

Seksyen 377B Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa: “Sesiapa yang melakukan hubungan seks luar tabii secara sukarela, akan dihukum penjara maksima 20 tahun, termasuk sebatan”.

Bagi orang Islam, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan kesalahan-kesalahan yang berkaitan perlakuan LGBT. Antaranya:

1. Seksyen 25 – perbuatan liwat

2. Seksyen 26 – perbuatan Musahaqah (melakukan hubungan sejenis antara perempuan dengan perempuan).

3. Seksyen 28 perbuatan orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam atas tujuan tidak bermoral.

Daripada undang-undang itu, adalah jelas tindakan ke atas golongan seks songsang ini bertujuan menghalang mereka daripada melakukan kesalahan, selain menyekat pengaruh mereka daripada merebak ke dalam masyarakat Malaysia.

Takkan kita nak biar pencuri mencuri atas alasan itu hak asasi manusia!

Justeru, Pedang dan rakan-rakan Pedang sedang melihat sejauh mana Khalid, Mujahid, menteri-menteri Islam, Jakim atau Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan akan bertindak terhadap penganjuran pesta gay yang akan diadakan pada 30 Ogos hingga 1 September ini.

Tahun lalu, Zahid Hamidi telah keluarkan arahan melarang pesta sedemikian diadakan. Tahun ini, agak-agak siapa yang akan menjadi pembela masyarakat majoriti, Islam dan negara?

*Kata Pedang: Orang yang mendapat haji mabrur akan menunjukkan tanda-tanda tertentu. Harap-harap Mujahid dan Maszlee Malik ada tanda itu.


Tiada ulasan: