Rabu, 29 Ogos 2018

Ketua jurulatih Felda United naik angin, 3 tonggak ingkar arahan


Ketua jurulatih Felda United, B. Satiananthan ‘naik angin” dengan tiga tonggak utama pasukan itu yang didakwanya enggan mengikut arahannya sehingga menyebabkan pasukan tewas 0-1 ketika bertemu PKNS FC malam tadi.

Rentetan itu, beliau berkemungkinan mengambil tindakan tegas iaitu tidak menurunkan mereka dalam baki dua perlawanan terakhir Kumpulan B, Piala Malaysia selepas ini.

"Saya tidak mahu sebut siapa tapi ada pemain yang ingat mereka lagi bagus daripada jurulatih…
selepas ini saya tidak akan menurunkan mereka… saya tidak takut letak pemain muda, saya sudah menurunkan Muhammad Zahril Azri Zabri yang dibawa dari pasukan bawah 19 tahun dan kini dia menunjukkan prestasi cemerlang.

"Saya ada lima lagi pemain muda yang boleh ganti mereka… saya tidak kira mereka pemain import, arahan jurulatih mesti didengari," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di Stadium Tun Abdul Razak di Maran, malam tadi.

Satiananthan juga meluahkan rasa kecewa dengan corak permainan pemainnya yang gagal memanfaatkan banyak peluang sehingga memusnahkan rekod tanpa kalah Felda United pada saingan Piala Malaysia.

"Bermain di padang rumput tiruan di Stadium Tun Abdul Razak turut memberi kesan kepada prestasi pemain dan mereka seolah-olah takut bermain di tempat sendiri,” katanya.

Sementara itu, pengendali PKNS FC Datuk K. Rajagobal memuji komitmen dipamerkan anak buahnya apabila mencatat kemenangan ke atas Felda United.

Katanya pujian itu juga wajar diberikan memandangkan ini kali pertama anak buahnya beraksi di atas padang tiruan, selain menunjukkan disiplin tinggi dalam mengikut arahan yang diberikan. "Mungkin mereka sedar dan mengambil iktibar daripada perlawanan lalu yang mana kita tewas 3-2 pada Felda United meskipun sudah mendahului 2-0," katanya.

Rajagobal berkata peluang PKNS FC masih cerah untuk melayakkan diri ke peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia dan pasukannya akan memberi tumpuan kepada baki dua perlawanan, satu persatu.- Bernama


Tiada ulasan: