Khamis, 30 Ogos 2018

Isu tol: Mahu bahas pada sidang DUN jika terpilih jadi wakil rakyat

Mohd Zaini Samsu Hadi

Tan Chee Teong
Calon MCA N.27 Balakong, Tan Chee Teong bercakap pada sidang media mengenai percanggahan kenyataan yang dikeluarkan Menteri Kerja Raya, Baru Bian dan Calon Pakatan Harapan N.27 Balakong, Wong Siew Ki sempena kempen Pilihan Raya Kecil N.27 Balakong di Pusat Gerakan MCA Cheras, Selangor. foto IQBAL BASRI,

KUALA LUMPUR – Calon MCA, Tan Chee Teong menegaskan beliau tidak perlu membuang masa untuk berbahas dengan sesiapa pun dalam Pakatan Harapan (PH) berhubung isu tol ketika dalam tempoh berkempen.

Sebaliknya, perbahasan mengenai perkara itu boleh dibuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya beliau menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 8 September ini.

Menurutnya, tidak timbul isu beliau gentar dengan sesiapa sahaja dalam PH termasuk Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam perjuangan menuntut janji yang pernah ditabur kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu.

“Saya memang hadapi kekangan masa. Sibuk dengan pengundi di sini. Sebab sebagai wakil rakyat (jika menang) yang penting adalah dengar suara mereka, bukan berbahas.

“Untuk tempoh ini 21 hari, saya telah pergi banyak tempat walaupun di kawasan yang terpencil seperti di Balakong Jaya dan Lagenda Mas. Masa diberikan untuk mendengar suara rakyat,” katanya pada sidang media di bilik operasi MCA di sini hari ini.

Che Teong berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Guan Eng dalam satu siri ceramah PH DUN Balakong yang berlangsung malam tadi.

Dalam itu, Guan Eng menggesa agar MCA menyuarakan isu penghapusan tol kepada beliau sekiranya mereka betul-betul mahu mengurangkan beban rakyat.

Menurut Guan Eng, parti itu tidak sepatutnya bertanyakan kepada calon PH, Wong Siew Ki ketika berkempen kerana beliau bukan menteri.

Dalam pada itu Chee Teong berkata, sekiranya pengundi di Balakong memberi mandat kepadanya untuk menjadi wakil rakyat mewakili mereka, banyak perkara yang diabaikan oleh kerajaan ketika ini akan dibawa ke sidang DUN untuk dibahaskan.

Sementara itu, Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, Guan Eng perlu mengajar Siew Ki supaya lebih berani berdepan dengan pengundi di Balakong dalam menerangkan perkara-perkara yang terkandung dalam manifesto partinya yang belum tertunai.

Malah, jelas beliau sebagai calon yang akan bertanding pada PRK bagi mewakili rakyat Balakong, Siew Ki juga sepatutnya perlu mempunyai rasa tanggungjawab dan mengambil tindakan susulan dalam memastikan janji-janji PH ditunaikan.

Tambah beliau, Siew Ki juga perlu sedar bahawa masalah utama yang dihadapi oleh penduduk Balakong ialah mereka dihimpit dengan masalah bayaran tol kerana jalan-jalan yang menghubungkan kawasan mereka telah menyebabkan semua pengguna terpaksa berbuat demikian.

“Saya rasa tidak ada masalah untuk Chee Teong untuk menyuarakan sama ada mereka akan menepati janji-janji mereka.

“Oleh itu hapuskan tol ini kerana ia akan meringankan beban kehidupan rakyat dan penduduk di kawasan Balakong,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: