Isnin, 27 Ogos 2018

BLOK PEMBANGKANG BANTU CALON PAS




Blok parti pembangkang menyatakan sokongan penuh bagi membantu jentera kempen PAS, sekali gus memastikan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia, 8 September depan.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata

pihaknya amat mengalu-alukan kerjasama semua pihak yang ingin membantu, terutama bagi gerak kerja kempen mengikut penyelarasan yang disusun parti itu.

Beliau berkata, Selain UMNO dan MIC, kerjasama politik itu turut membabitkan Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Alhamdulillah, semua kerjasama berkenaan berjalan dengan baik setakat ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk PRK itu di Pejabat Badan Perhubungan PAS Selangor di Shah Alam, petang Ahad.

Hadir sama, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad; Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi dan calon PAS, Dr Halimah Ali.

Tuan Ibrahim berkata, pihaknya sudah mengarahkan semua jentera PAS dari seluruh negara membantu kempen mengikut zon gerak kerja yang ditetapkan.

“Kita menjangkakan purata 200 ahli dari setiap negeri akan turun padang bermula esok merangkumi Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Dewan Ulama dan Dewan Himpunan Penyokong PAS,” katanya.

Ditanya kerjasama oleh MCA kerana kawasan DUN itu turut merangkumi pengundi Cina, beliau berkata, pihaknya belum dimaklumkan mengenainya dan menganggap parti berkenaan mungkin lebih memfokuskan kepada PRK Balakong.

“Secara keseluruhannya, kita masih tidak nampak sokongan (pengundi Cina) secara jelas setakat ini.
Namun, kita percaya kaum itu berpegang teguh kepada kepercayaan atau kesetiaan dan marah dengan pembohongan oleh pemimpin seperti Manifesto 100 hari Pakatan Harapan (PH).

“PAS bagaimanapun mengharapkan MCA akan turut hadir membantu walaupun kita memahami jentera mereka menumpukan kepada calon mereka di Balakong,” katanya.

Sementara itu, Dr Halimah berkata, Selangor memerlukan pembangkang yang kuat bagi menjadi suara semak dan imbang biarpun penambahan jumlah kerusi DUN mungkin hanya kecil berbanding PH.

“Bukan soal tambah hanya menjadi lima atau enam kerusi dan tidak memberi impak, namun kita mahu memastikan suara rakyat didengari terutama berkaitan soal kebajikan dan masalah kebersihan di kawasan perumahan,” katanya.


Tiada ulasan: