Isnin, 27 Ogos 2018

BERHENTILAH JAJA FITNAH – NASRUDDIN




PAS menyifatkan program Jelajah Malaysia Baharu sebagai usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan kelangsungan strategi fitnah bagi memburukkan pihak lawan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata kerajaan tidak perlu berbelanja untuk membuat aktiviti yang tidak dituntut oleh rakyat.

Sebaliknya, beliau menasihati PH untuk terus memberi fokus kepada kegagalan menunaikan 10 janji 100 hari seperti yang termaktub dalam manifesto PH sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Amat malang bagi PH yang telah membentuk Kerajaan Persekutuan terus mengadakan Jelajah Malaysia Baharu untuk menjaja fitnah yang diulang-ulang sejak tiga tahun lalu.

“PH sepatutnya mengambil pengajaran tempoh 100 hari pentadbiran yang menunjukkan prestasi gagal. Pelbagai masalah yang lebih buruk telah dilakukan satu demi satu.

“SST lebih menguntungkan peniaga. Harga petrol tidak turun. PTPTN tetap diteruskan. AES terus terpacak. Harga barang tidak turun secara signifikan. Polisi dan keputusan kerajaan banyak flip flop.

Apa sebenarnya yang kerajaan telah lakukan? ,” soalnya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin.

Jelajah Malaysia Baharu merupakan program anjuran PH bagi memberi penjelasan mengenai isu berkaitan negara termasuk berkaitan beberapa janji yang terpaksa ditunda.

Program tersebut bermula di Alor Setar, Kedah pada minggu lalu dan akan menjelajah ke seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, Nasrudin turut mengingatkan menteri dan anggota kabinet tentang teguran perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu prestasi kementerian dipertingkatkan.

“Oleh itu, manfaatkan masa untuk terus menambahbaik fungsi dan peranan di kementerian di samping fikir untuk laksana agenda-agenda yang lebih baik demi kepentingan rakyat.

“Mereka tidak selayaknya terus menerus melakukan fitnah lapuk yang entah berapa kali dikitar semula. Lebih memalukan apabika ia dikitar sendiri oleh sang menteri yang tidak ubah lagaknya seperti cybertrooper upahan,” katanya.


Tiada ulasan: