Khamis, 30 Ogos 2018

1MDB: Polis rakam keterangan Najib kali kedua

1MDB: Polis rakam keterangan Najib kali kedua
Kenderaan Vellfire yang dipercayai dinaiki Ahli Parlimen Pekan itu berada di bahagian belakang Menara 238, Jalan Tun Razak, di sini .
 
 
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini sekali lagi hadir memberi keterangan kepada pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Urus Setia Ketua Polis Negara, Bukit Aman, hari ini.

Difahamkan, beliau dilaporkan tiba bersama peguamnya kira-kira jam 9 hingga 9.30 pagi tadi selepas kehadirannya di Menara 238, Jalan Tun Razak, di sini, tidak disedari pihak media.

Sebuah kereta jenis Toyota Vellfire berwarna putih dipercayai dinaiki Najib dilihat berada di bahagian belakang menara menunggu untuk mengambil Ahli Parlimen Pekan itu selepas proses memberikan keterangan selesai.

Namun, sehingga jam 11.30 pagi, kelibat Najib masih belum kelihatan.

Keterangan itu dipercayai bagi membantu siasatan berhubung skandal 1MDB di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Amla).

Isnin lalu, Najib telah hadir memberikan keterangan kira-kira satu jam.

[ARTIKEL BERKAITAN: 1MDB: Keterangan Najib dirakam di bawah Amla]

Pada 8 Ogos lalu, Najib didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui kenyataan medianya berkata, pertuduhan itu berkaitan kes SRC International Sdn Bhd.

Tiada ulasan: