Khamis, 17 November 2016

Selepas Jamal guna helikopter, Sanjeevan pula mahu intip istana Ketua Polis

khalid-sanjeevan 


Pengerusi badan pemantau MyWatch, Datuk R Sri Sanjeevan pula mahu mengikut jejak Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Yunos yang menggunakan helikopter untuk mengintip istana milik Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Sanjeevan berkata Jamal memberinya idea untuk melakukan perkara sama mengintip rumah agam yang dinamakan Istana Mantin milik IGP.

“Terima kasih kepada Jamal, beliau memberi saya idea untuk membawa wartawan melawat dengan helikopter sekeliling Istana Mantin,” kata Sanjeevan.

Selasa lalu, Jamal membawa media untuk melihat sendiri kediaman banglo ala Disneyland milik pemuda PKR, Adam Rosly Abdullah yang menimbulkan kontroversi.

Sebelum ini, Sanjeevan membuat laporannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa Khalid memiliki sebuah rumah mewah di Mantin, dan berkata beliau mempunyai dokumen membuktikan tuduhan itu.

Ogos lalu, Sanjeevan menyerahkan dokumen pendaftaran syarikat kepada SPRM bagi menyokong dakwaan sebuah syarikat senjata api dikaitkan dengan adik Khalid, Datuk Abdullah Abu Bakar.

Awal November lalu, polis Bukit Aman bertindak menyerbu kediaman Sanjeevan di Kajang, dan menyita beberapa kenderaan yang didaftarkan atas namanya.

Sitaan tersebut dibuat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), Seksyen 45.

Sanjeevan ditahan pada 22 Jun kerana disyaki melakukan pemerasan dan ugutan jenayah.

Aktivis 32 tahun itu diberkas Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) sebaik sahaja didakwa menerima wang perlindungan RM25,000 daripada pengadu, seorang pengusaha judi haram berusia 38 tahun.

Tiada ulasan: