Ahad, 6 November 2016

Pertandingan satu lawan satu sukar dicapai kerana PAS dalam dilema - Penganalisis

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS masih berdepan dengan dilema dalam menentukan kerjasamanya dengan parti-parti pembangkang yang lain bagi memastikan pertandingan satu lawan satu diadakan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berpendapat keadaan itu berlaku kerana PAS tidak mahu bertolak-ansur dengan agenda politiknya. 
 
"Saya fikir PAS masih menghadapi dilema dalam menentukan sikapnya terhadap kerjasamanya dengan Pakatan Harapan (PH). Ini kerana PAS telah mengisytiharkan perang terhadap DAP dan Amanah. Malah PAS juga kelihatan ada kerenggangan dalam menerima Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). 
 
"Sementara PAS berkeinginan menyaksikan boleh menang banyak kerusi dalam PRU14 melalui persefahaman PH dan sekutunya, dan dalam masa sama PAS merasakan perkara ini harus dibuat secara tak langsung dengan tak melibatkan Amanah dan DAP," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Mustafa berkata demikian mengulas sikap PAS dalam menyatakan pendiriannya bersabit tujuan mengadakan pertandingan satu lawan satu dalam pilihan raya depan.
 
Terdahulu Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin mengatakan partinya bersedia untuk tujuan tersebut untuk memastikan Umno-Barisan Nasional (BN) tewas dalam PRU14 dengan syarat semua pihak bersatu atas dasar agama Allah.
 
Kenyataan tersebut kemudiannya disambut oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dengan memberitahu bersedia mengadakan rundingan dengan pembangkang, namun memberi amaran 'jangan kacau rumah kami', dipercayai merujuk kepada kerusi-kerusi tradisi yang dimenangi parti itu.
 
Ketua Pemudanya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata PAS tidak akan mengikat kerjasama dengan DAP, sekali gus membayangkan peluang tipis untuk parti itu mengadakan permuafakatan dengan Pakatan Harapan. 
 
Mengulas lanjut Mustafa berpandangan ia berlaku kerana PAS melihat ada isu-isu tertentu yang akan timbul dalam kerjasamanya dengan parti-parti pembangkang yang lain.
 
"Masih ada  isu yang memisahkan PAS dan parti-parti tersebut. Sebab itu PAS kelihatan berbelah-bahagi. Ada pihak di dalam PAS mahu mereka ambil kesempatan ini supaya strategi satu lawan satu berlaku. 
 
"Dalam masa PAS ada agenda yang tidak mahu dikompromi dan tidak mahu secara langsung dilihat ada kaitan dengan DAP dan Amanah," ujarnya.
 
Dalam masa yang sama, Mustafa menyuarakan pendapatnya bahawa rundingan satu lawan satu itu di kalangan pembangkang tidak akan kemana sekiranya kesemua mereka enggan berkorban prinsip perjuangan politiknya.
 
 

Tiada ulasan: