Khamis, 10 November 2016

Pemotongan bajet: Ke mana hala tuju universiti awam



OLEH  KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN


 

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menjangkakan pengurangan besar peruntukan sehingga 30% ke atas universiti-universiti awam dalam Bajet 2017 akan memberikan dampak kritikal kepada pelbagai pihak. Tindakan ini merupakan kali yang ketiga berturut-turut sejak DS Najib Razak menjadi Perdana Menteri. Persoalannya, apakah justifikasi bagi tindakan drastik tersebut?

Tindakan berterusan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kerajaan tidak peka dengan kepentingan projek-projek akademik yang dijalankan oleh pelbagai pihak di universiti. Sewajarnya Kerajaan memanfaatkan sebaik mungkin hasilan akademik (academic outputs) institusi pendidikan tinggi di negara ini untuk menggubal pelbagai polisi dan perancangan negara. Ia juga akan mengurangkan kebergantungan kepada firma penyelidikan khususnya dari luar negara.

Sudah tentu, pengurangan bajet yang sebesar ini akan merugikan masa depan negara, universiti, staf akademik dan para pelajar. Inilah pelaburan yang paling menguntungkan berbanding projek-projek mega yang tidak memberikan pulangan langsung kepada rakyat seperti Projek Taman Tugu Negara, Dusun Bandar, Bandar Malaysia, Menara Warisan dan lain-lain lagi. Bagaimana Kerajaan mencorakkan hala tuju pendidikan tinggi negara?

Jika kerajaan ingin menghapuskan semua bantuan kewangan kepada pihak universiti supaya universiti-universiti awam lebih berautonomi dan mampu menjana kewangan sendiri, pihak DPPM mencadangkan agar kerajaan membentangkan satu pelan induk yang komprehensif terlebih dahulu. Ia harus merangkumi suntikan modal permulaan (seed capitals), cost benefits analysis, hala tuju setiap universiti dan rangka kerja tahunan. Berdasarkan pelan tersebut, semua pihak boleh memberikan maklum balas yang lebih sesuai.

Pihak DPPM juga mencadangkan beberapa pilot projects untuk merealisasikan perancangan model wakaf atau endowment fund secara keseluruhan di institusi pengajian tinggi bagi melihat viability pelaksanaannya di Malaysia. Kita maklum beberapa universiti ternama di dunia seperti Universiti Al-Azhar di Mesir, Universiti Harvard dan Universiti Yale di Amerika Syarikat serta Universiti Sains dan Teknologi King Abdullah di Arab Saudi.

Oleh itu, perancangan yang lebih teliti dan lebih baik dapat dilaksanakan bagi mengelakkan berlaku kecacatan dalam perkembangan di universiti-universiti awam.

”Bertekad Melebar Muafakat”
”Inilah Penyelesaian Kita” 

*  KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia 

Tiada ulasan: