Jumaat, 11 November 2016

Maria Chin didakwa terima ugutan bunuh

Maria Chin Abdullah
Maria Chin


SHAH ALAM - Seminggu menjelang perhimpunan Bersih 5 Sabtu depan, satu lagi ancaman bunuh diterima Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah melalui kiriman aplikasi WhatsApp ke telefon bimbitnya.

Maria dalam kenyataannya kepada Sinar Harian berkata, kiriman itu diterima jam 12:49 pagi kelmarin memaparkan gambar kepalanya yang dipercayai disunting dalam keadaan dipancung.

“Selain gambar kepala saya dipancung, individu tersebut turut menghantar gambar tiga anak lelaki saya, ahli sekretariat Bersih, Mandeep Singh dan Pengerusi Hak Asasi, Datuk S Ambiga dalam keadaan yang sama.

"Saya telah membuat laporan polis mengenai ugutan ini,” katanya.

Menurutnya, tindakan itu seolah-olah ada pihak yang mahukan menakutkan Bersih agar tidak meneruskan perhimpunan 19 November depan.

“Saya tidak fikir ia dilakukan oleh Daesh tetapi yakin ia dibuat oleh mereka yang tidak mahu kami meneruskan perhimpunan itu.

“Perhimpunan Bersih akan tetap diteruskan dan kita tidak akan berhenti membantah,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan pihaknya mencipta gelombang dalam konvoi selama enam minggu lalu menyebabkan ada pihak yang cuba menakutkan kuasa rakyat.

“Ancaman bunuh itu adalah bertujuan untuk menghancurkan semangat dan menanam rasa takut dalam kepada orang ramai,” katanya.

Bulan lalu, Maria turut menerima ancaman bunuh melalui sekeping foto yang memaparkan seorang lelaki memegang pisau berdekatan lehernya.


Tiada ulasan: