Selasa, 22 November 2016

Mahfuz sedia terima hukuman parti kerana hadiri BERSIH 5

Oleh Haizal Yatiran
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bersedia dengan apa juga tindakan yang bakal dikenakan oleh PAS berikutan kehadirannya di perhimpunan BERSIH 5 Sabtu lalu.
 
Tambahnya, beliau bersedia menerima tindakan daripada Jawatankuasa Disiplin parti kerana kehadirannya pada himpunan tersebut adalah untuk rakyat Malaysia.
 
"Apa saya lalukan hanya untuk rakyat Malaysia. Saya tak fikir himpunan BERSIH gugat orang ramai.
 
"Demi rakyat dan untuk rakyat, saya bersedia segala-galanya. Saya bersedia masuk lokap, ISA, dan penjara.
 
"Tapi saya masih tidak tahu apa yang bakal dikenakan (oleh parti) terhadap saya dan rakan-rakan," katanya di lobi parlimen hari ini.
 
Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS akan mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli parti itu yang menyertai perhimpunan BERSIH 5.
 
Menurut Hadi, pelaku tersebut akan dirujuk kepada jawatankuasa disiplin jika terdapat aduan dan terbukti melakukannya.
 
Selain Mahfuz, antara yang hadir pada perhimpunan Sabtu lalu, termasuk bekas ketua pengarang organ rasmi PAS Harakah Ahmad Lutfi Othman dan artis Abby Abadi.
 
Sebelum ini, anggota Majlis Syura PAS Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, walaupun tidak menyokong secara rasmi BERSIH 5, parti itu tidak menghalang anggotanya menyertai himpunan berkenaan.
 
 

Tiada ulasan: