Sabtu, 19 November 2016

LAPORAN LANGSUNG BERSIH 5

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar, Shuhaniza Said, Azizul Osman, Haizal Yatiran & Zeanaaima M. Yusof
Post Pic


KUALA LUMPUR: Himpunan BERSIH 5 tetap berlangsung hari ini, meskipun sehingga awal pagi (Sabtu) ini polis membuat beberapa tangkapan melibatkan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) BERSIH gerakan Baju Merah, ahli politik serta aktivis.

Berikut adalah laporan langsung himpunan BERSIH 5 membabitkan beberapa lokasi yang dijangka panas iaitu Masjid Negara, Masjid Jamek, SOGO dan Dataran Merdeka.

DATARAN MERDEKA: 

5.55 PETANG: Polis kini membuka halangan yang dibuat sejak jam 8 pagi tadi. Ini menandakan sekitar Dataran Merdeka kini dibuka semula untuk lalu lintas.


 
5.38 PETANG: Menjelang jam 6 petang ibu kota Kuala Lumpur dibasahi hujan.

Kelihatan anggota keselamatan mula meninggalkan Dataran Merdeka yang dikawal ketat sejak pagi daripada dimasuki peserta BERSIH 5.

Malah peserta BERSIH 5 juga sudah mula meninggalkan kawasan sekitar Jalan Tun Perak dan Jalan TAR.
Difahamkan sejumlah 7,000 anggota polis dari pelbagai pangkat dikerahkan bagi mengawal Dataran Merdeka hari ini.

Menurut jurucakap polis, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh akan membuat kenyataan mengenai jumlah sebenar peserta BERSIH 5 yang membanjiri sekitar dataran hari ini.



KLCC:

5.30 PETANG: Sebahagian peserta BERSIH 5 mula meninggalkan lokasi dan beredar ke kawasan sekitar untuk mencari tempat berlindung dari hujan.



DATARAN MERDEKA: 
 
5.15 PETANG: Polis mengadakan kawalan di sekitar Padang Merbok dan Jalan Raja Laut kini dalam fasa untuk bersurai. Dipercayai kumpulan Baju Merah sudah meninggalkan Padan Merbok dan Bersurai.



Pasukan keselamatan polis mengawal sekitar Jalan Tun Perak dan Jalan Tunku Abdul Rahman dilaporkan akan bersurai. Ini kerana keadaan di sekitar Dataran Merdeka sudah tenang dan kembali seperti biasa. Juga peserta BERSIH 5 kini sudah meninggalkan kawasan sekitar dataran.



KLCC:
 
3:40 PETANG: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tiba di KLCC.
 
Mereka akan menyampaikan ucapan sebentar lagi.
 
 
 
 
 
SOGO:

3.25 PETANG: Peserta himpunan Baju Merah kemudiannya mendesak polis agar melepaskan rakan mereka yang baru sahaja ditahan, sebentar tadi.


 
3.21 PETANG: Seorang peserta Baju Merah ditahan polis apabila memprovokasi dan cuba menyerang peserta BERSIH 5. Keadaan bagaimanapun masih tenang, meskipun tangkapan itu dibuat.



MASJID JAMEK:

2.45 PETANG: Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk A. Kadir Jasin tiba di sini bersama penyokongnya.

DATARAN MERDEKA: 

12.50 TENGAHARI: Naib Presiden AMANAH, Dr Mujahid Yusof Rawa membangkitkan isu kenapa ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak dibenarkan untuk mengutarakan soalan kepada kerajaan di Dewan Rakyat berkenaan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
 
Jelas beliau, rakyat memerlukan penerangan daripada kerajaan berhubung isu berkenaan kerana melibatkan maruah negara.
 
"Kami ahli-ahli Parlimen tidak boleh tanya mengenai 1MDB. Kami ahli Parlimen yang dilantik oleh rakyat. Kalau tidak boleh tanya maka saya tidak tahu mana rakyat boleh bertanya. Kalau tidak boleh bertanya di Parlimen, kita akan bertanya di jalan raya. 
 
"Jangan salahkan kami tidak bertanya di Parlimen, tetapi kalau kamu menyekat suara ahli-ahli Parlimen, yang akan bertanya adalah suara-suara rakyat," katanya di hadapan peserta BERSIH 5 berhadapan Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) sebentar tadi.
 
SOGO:

12:37 TENGAHARI: Kira-kira 1,000 peserta BERSIH 5 sedang berkumpul di Jalan TAR berhadapan dengan panggung Coliseum, tidak jauh dari Sogo.

Mereka hanya duduk di tengah-tengah jalan sambil beberapa peserta memberikan ucapan. Tiada pemimpin pembangkang kelihatan.


 
 
12.25 TENGAHARI: Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli tiba di hadapan Jalan Tun Perak berhadapan Dataran Merdeka. 
 
Beliau meminta peserta bersabar dan bergerak dalam kumpulan sementara menunggu arahan selanjutnya.
 
12.14 TENGAHARI: Sebahagian premis perniagaan di hadapan SOGO ditutup, bagaimanapun sebahagian masih meneruskan operasi. 
 
Operasi SOGO juga seperti biasa.
 
Tindakan cekap polis menutup Jalan TAR di hadapan SOGO berjaya mengelakkan pertembungan BERSIH 5 dan Baju Merah.
 
DATARAN MERDEKA: 
 
12.02 PAGI: Penyokong Baju Merah kira-kira dalam 20 orang di'boo' penyokong BERSIH, di hadapan Dataran Merdeka. Mereka kemudiannya berjalan keluar daripada kawasan itu.
 
 
 
 
11.50 PAGI: Difahamkan, peserta Baju Merah yang berarak akan dilencongkan menuju ke Padang Merbok.
 
Dua trak FRU diletakkan dalam keadaan bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
 
11:55 PAGI: Polis menambah bilangan anggota untuk mengawal peserta di Dataran Merdeka.
 
Terbaru, sebanyak tujuh buah bas PDRM dipenuhi anggota berunifom menuju ke Dataran Merdeka dari arah Jalan Raja Laut.
 
 
11.30 PAGI: Ketua Wanita PKR, yang juga Ahli Parlimen Ampang Zuraidah Kamaruddin tiba di Jalan TAR. 
 
Antara yang dibangkitkan oleh Zuraidah adalah dimana (Datuk Seri) Jamal Md Yunus sambil mendapat gelak tawa peserta BERSIH 5. Perhimpunan masih berlangsung secara aman.
 
Dianggarkan lebih 1,000 peserta Baju Merah sedang berarak, namun laluan dilencongkan daripada melalui jalan di hadapan SOGO. 
 
Peserta Berarak sambil menyanyikan lagu Inilah Barisan Kita.
 
 
DATARAN MERDEKA:
 
11.14 PAGI:  Ketua Bahagian Ketenteraman Awam, IPD Dang Wangi, DSP Gurbinder Singh meminta pengajur BERSIH 5 agar mengawal peserta mereka dari memasuki Dataran Merdeka kerana himpunan ini tidak mendapat permit daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Justeru ujar polis, mereka terpaksa menutup jalan-jalan masuk ke Dataran Merdeka. 
 
Menurutnya pihak polis tidak akan bertanggungjawab keatas semua peserta BERSIH 5 sekiranya memasuki kawasan sekitar dataran.
 
SOGO
 
11.10 PAGI: Polis mengetatkan kawalan di jalan berhadapan S0G0 bagi mengelakkan pertembungan di antara peserta BERSIH 5 dan penyokong Baju Merah yang dikhuatir akan mengundang insiden kekecohan.
 
Sehingga kini, hanya kelihatan beberapa kumpulan peserta BERSIH 5 berkumpul di SOGO, dan tiada peserta Baju Merah kelihatan ekoran 'pemisahan' oleh polis.
 
Turut kelihatan beberapa pemerhati daripada Majlis Peguam di kawasan Sogo membuat pemantauan.
 
Keadaan masih terkawal tanpa insiden yang tidak diingini berlaku.
 
MASJID JAMEK:
 
11.10 PAGI: Peserta di kawasan ini makin bertambah - sekitar 1000 orang. 
 

 
 
 
 
 
 
DATARAN MERDEKA: 
 
10.50 PAGI: Polis meminta peserta BERSIH 5 agar mengawal peserta sekitar Dataran Merdeka kerana penganjur tidak mempunyai permit untuk mengadakan himpunan di sekitar dataran.
 
LRT BANDARAYA:
 
10.47 PAGI: Pertembungan aman antara penyokong BERSIH dan Baju Merah. Penyokong Baju Merah bersorak "Hidup Najib" dan "Hidup Ahmad Maslan" sambil menuju ke Padang Merbok.
 
DATARAN MERDEKA: 
 
10.45 PAGI: Peserta BERSIH 5 dilihat duduk di sekitar jalan masuk ke Dataran Merdeka sambil mendengar ceramah pemimpin pembangkang. Antaranya Ketua Wanita AMANAH, Dr. Mariah Mahmud. 
 
MASJID JAMEK:
 
10.43 PAGI: Tan Sri Muhyiddin Yassin dikhabarkan akan berada di Dataran Merdeka jam 2 petang bersama penyokong BERSIH 5
 
JALAN RAJA LAUT:
 
10.40 PAGI: Lebih kurang 30 orang penyokong Baju Merah berkumpul di hadapan kawalan polis.
 
Mereka yang sepatutnya berkumpul di Padang Merbok terpaksa berkumpul di Jalan Raja Laut kerana halangan daripada polis.
 
Ribuan peserta Baju Merah mulai berkumpul di perkarangan PWTC sejak jam 8 pagi tadi. 
 
Pemimpin Baju Merah, Armand Azha Abu Hanifah berkata semua peserta akan berkumpul di PWTC sebelum berarak menuju ke Padang Merbok sekitar jam 12 tengahari nanti. 
 
Jelasnya, Baju Merah akan berarak melalui Jalan Kuching bagi mengelakkan pertembungan dengan peserta BERSIH 5 yang turut mengadakan himpunan pada hari ini.
 
DATARAN MERDEKA: 

10.35 PAGI: Sekitar jam 10 pagi peserta BERSIH 5 mula membanjiri sekitar Dataran Merdeka.  Namun kesemua jalan untuk memasuki dataran ditutup dan dihalang dengan penghadang. Kelihatan kesemua pintu masuk ke Dataran dikawal rapi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Malah para wartawan juga tidak dibenarkan memasuki kawasan sekitar Dataran. 
 
Antara jalan yang ditutup polis adalah Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Jalan Raja Laut, dan sekitar Masjid Jamek menuju ke Jalan Pudu.
 
Juga kelihatan peniaga-peniaga menjalankan perniagaan mereka sejurus sahaja himpunan BERSIH 5 bermula di Dataran Merdeka.
 
Antaranya gerai menjual minuman, nasi lemak dan juga sup gearbox.
 
Malah gerai menjual pakaian BERSIH 5 juga turut didirikan di sekitar Jalan TAR.
 
SOGO:

10.30 PAGI: Semua premis perniagaan di sini dibuka seperti biasa.
MASJID JAMEK:
 
10.15 PAGI: Hanya peserta BERSIH sahaja berkumpul di Masjid Jamek sambil dikawal oleh pasukan keselamatan.
 
Jumlah peserta dianggarkan 500 orang. Peserta kumpulan Baju Merah setakat ini tidak kelihatan.
 
 
 



SOGO:
 
10.00 PAGI: Kelihatan anggota FRU ditempatkan di sekitar jalan menghampiri Pusat Beli Belah Sogo, iaitu salah satu tempat berkumpul peserta BERSIH 5 dan Penyokong Gerakan Baju Merah.

Di sekitar kawasan ini, penyokong Baju Merah sedang berkumpul di Hotel Quality sebelum berarak ke Sogo.
 
Kelihatan kurang 30 orang penyokong BERSIH berkumpul di kawasan ini.
 
DATARAN MERDEKA:
 
10.00 PAGI: Kawalan keselamatan di Dataran Merdeka dilihat amat ketat. Sejumlah polis mengawal tapak bersejarah ini bagi menghalang peserta BERSIH daripada memasukinya.
JALAN TAR:

9.48 PAGI: Kelihatan hampir 200 peserta berhimpun di sini. Suasana masih aman. Masing-masing melaungkan perkataan BERSIH.

MASJID JAMEK

9.43 PAGI: Himpunan bermula dengan perarakan daripada peserta BERSIH. Rata-rata mereka memakai t-shirt berwarna Kuning sambil melaungkan perkataan BERSIH.

Suasana setakat ini masih aman. Tiada kelibat pemimpin utama BERSIH, ahli politik atau mana-mana aktivis setakat ini.



Tiada ulasan: