Ahad, 6 November 2016

Kadir persoal kecenderungan Najib terhadap China

 
Menurut beliau, China menggunakan kuasa kewangan, teknologi, diplomasi dan ketenteraan untuk mengembalikan keagungan tamadun silamnya dalam bentuk baru.


kadir-jasin-bandar-malaysia


PETALING JAYA: Bekas ketua pengarang akhbar Datuk A Kadir Jasin mempersoalkan pembelian kapal tentera laut negara dari China dan pendirian kerajaan berhubung pertikaian wilayah di Laut China Selatan.

Beliau berkata, pengumuman kerajaan, semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Beijing minggu lepas boleh dianggap “anjakan paradigma dalam kerjasama dua hala dengan negara komunis”.

Kerajaan berkata minggu lepas ia akan membeli 4 korvet yang dikelaskan sebagai kapal perang persisiran pantai. Ia merupakan pembelian pertama tentera negara dari China.

Menggelarkannya sebagai satu “keputusan penting”, Najib berkata lebih banyak urus niaga mungkin berlaku pada masa depan.

Najib juga berkata pertikaian di Laut China Selatan akan dibincangkan secara dua hala dengan China.

Kadir mempersoalkan sama ada Kabinet sudah membincangkan terlebih dahulu kedua-dua keputusan dan menegaskan China sedang bersungguh-sungguh meluaskan pengaruh ekonomi, politik dan ketenteraan di seluruh dunia.

Beliau juga mengingatkan pinjaman RM50 bilion daripada China bagi projek kereta api Pantai Timur akan menjadikan hutang negara melonjak kepada lebih RM700 bilion, tanpa mengambil kira projek kereta api Kuala Lumpur-Singapura yang dianggarkan bernilai RM50 bilion, dan hutang sedia ada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM50 bilion.

Ahli politik pembangkang mempersoalkan kebijaksanaan 14 perjanjian dalam pertahanan, pertanian, pendidikan, kewangan dan pembinaan, berjumlah kira-kira RM143.64 bilion, yang diumumkan.

Kadir, yang kini merupakan ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, berkata China tidak mempunyai pemisahan di antara kerajaan dan syarikat, di mana semua industri dan aktiviti ekonomi yang strategik adalah milik kerajaan komunis.

Beliau berkata, kereta api Pantai Timur, projek Bandar Malaysia, dan kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura adalah bertepatan dengan rancangan China untuk mencipta Laluan Sutera.

Parti Komunis China menggunakan laluan kereta api secara beransur-ansur untuk mengembangkan pengaruhnya di laluan maritim, kata Kadir.

Tiada ulasan: