Selasa, 13 November 2012

Rakyat Sokong Penangguhan AES oleh Kerajaan Negeri Selangor




SHAH ALAM : Langkah Kerajaan Negeri Selangor menangguhkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) mendapat sokongan rakyat negeri ini.

Tinjauan TV Selangor di sekitar Shah Alam mendapati rakyat tidak puashati terhadap keputusan secara mendadak oleh Kerajaan Pusat tanpa mendapat pandangan orang ramai dan pakar.

 Bagi Mohinderjit Abdullah, 36, pelaksanaan AES bukan hanya memudaratkan pengguna jalan raya, malah diletakkan di tempat yang tidak sesuai dan mengundang bahaya.

Malah katanya, kebanyakan ahli keluarga serta rakan-rakannya tidak terkecuali daripada menjadi sasaran AES.

“Masalah dengan penggunaan AES ini ialah tiada papan tanda atau penunjuk di lebuhraya yang boleh dilihat oleh pengguna yang mengatakan kawasan itu adalah zon AES. Ada di antara rakan-rakan saya yang menerima saman lebih sepuluh kali hanya dalam tempoh sebulan.

“Bagi saya, ia sudah jelas membuktikan bahawa pelaksanaannya hanya akan membebankan rakyat dan langsung tidak masuk akal. Justeru, tindakan Kerajaan Negeri Selangor yang menghalang penggunaan AES harus dipuji dan disambut baik,” katanya yang berkhidmat sebagai jurutera.
 
Hal sama turut disokong Yau Kian Doon, 52, yang menyifatkan bahawa keputusan Kerajaan Negeri itu adalah wajar dan perlu disokong oleh masyarakat.

“Tindakan Kerajaan Negeri Selangor itu membuktikan keprihatinan mereka untuk membantu rakyat. Sudahlah kita dibebankan dengan kos hidup yang tinggi, kini Kerajaan Pusat mahu tambah lagi beban kepada rakyat,” katanya.

Bagi Taufik Mokhtar, 64, tindakan menangguhkan AES harus dipuji kerana ia membuktikan bahawa Kerajaan Negeri memahami kesusahan rakyat.

Beliau yang bekerja sebagai pemandu teksi berharap supaya pelaksanaan AES tidak akan dilakukan demi memastikan rakyat tidak dibebankan dengan bayaran saman.
 
“Kita sesama rakyat faham penderitaan yang terpaksa dihadapi dengan pelaksanaan AES ini. Kerajaan Pusat jangan bazirkan duit rakyat untuk bayar saman. AES tidak akan mendisiplinkan pengguna, sebaliknya meningkatkan kadar kemalangan,” ujarnya.

Turut menyokong, Angela Devi Sivasamy, 53, yang mahukan AES dihentikan bagi mengelakkan pengguna jalan raya berasa stress apabila memandu.

“Rakyat tidak boleh terus-terusan menjadi mangsa. Kalau perlu, AES ini boleh dipasang di lebuh raya tetapi pastikan ia relevan dan tidak melampau,” jelasnya.

Sebelum ini, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambil langkah untuk menangguh penguatkuasaan AES di negeri ini kerana ia tidak relevan dan menyalahi undang-undang.


Katanya, langkah itu diambil ekoran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) gagal membuktikan AES adalah cara terbaik untuk mengatasi peningkatan kadar kemalangan jalan raya.

Malah menurutnya, Kementerian Pengangkutan gagal mendapatkan kebenaran untuk pembinaan struktur bagi sistem AES daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Tiada ulasan: