Isnin, 12 November 2012

PAS, PR tidak diserang jika tidak ancam Umno BN

Harakahdaily,

TEMERLOH: Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa PAS tidak pernah berganjak daripada landasan asal perjuangan.
“Bahkan, apa yang sering ditimbul bukanlah dasar tetapi soal strategi parti. Strategi parti boleh berubah mengikut kesesuaian keadaan dan suasana, manakala dasar parti tetap tidak berganjak,” tegas Ketua Penerangan PAS Pusat itu.

Dalam kenyataan kepada Harakahdaily, Tuan Ibrahim menegaskan bahawa dasar PAS untuk memperjuangkan Islam tidak pernah berubah kerana perubahan yang melibatkan dasar parti mesti diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak atau usul yang diterima dalam muktamar parti.

Sehingga kini, kata Tuan Ibrahim, tiada sebarang perubahan yang melibatkan dasar parti yang berjuang berpaksi kepada al-Quran dan Hadis.

“Apakah dasar Islam yang parti telah diubah sehingga mereka membuat pelbagai tuduhan?

“Sebenarnya tiada. Jika gabungan PAS bersama DAP dan PKR di dalam Pakatan Rakyat tidak kuat dan tidak menjadi satu ancaman kepada kesinambungan pemerintahan Umno BN, serangan sedemikian tidak akan wujud,” kata beliau yang juga ahli Majlis Syura.

Beliau dipercayai sedang memberi respons kepada tindakan segelintir ahli PAS yang kecewa di dalam satu forum di Selangor, yang secara terbuka menuduh parti telah menyimpang daripada perjuangan Islam dan menyeru parti mengkaji semula hubungan politik bersama DAP.

Beliau berkata serangan datang bila mana PAS mula mendapat sokongan daripada kalangan bukan Islam dengan wujudnya Dewan Himpunan Penyokong PAS serta wujud kerjasama kukuh bersama Pakatan Rakyat.

“Pelbagai alasan ciptaan musuh mula dimainkan dan digempurkan semula oleh golongan yang kecewa di dalam PAS. Golongan ini telah menjadi alat kepada Umno sama ada secara sudi, sedar atau sebaliknya. Jika mereka boleh memikir secara mendalam, sepatutnya serangan dan saranan agar kembali kepada Islam ditujukan kepada Umno, parti yang sedang memerintah,” kata Tuan Ibrahim.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS Pahang itu menyeru agar seluruh jentera parti tidak terganggu dengan kemuncup dalam perjuangan ini.

Beliau turut menyatakan kenyakinannya terhadap kefahaman dan pengetahuan ahli PAS dapat membezakan usaha licik musuh bagi melemahkan kemaraan PAS dan Pakatan Rakyat ‘yang sudah hampir pasti menggantikan Umno BN yang kini berulat dengan korupsi melampau jika PRU13 diadakan sekarang’.

“Ahli parti mesti sedar ucapan mereka ini hanya bertujuan untuk melemahkan kebangkitan rakyat bagi menolak kerajaan BN dan Umno. Seperti kata Saidina Ali ‘kalimah yang benar, tetapi tujuannya ialah bathil’,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mendakwa penganjuran program sedemikian adalah satu ‘fenomena biasa’ menjelang pilihan raya umum.

“Saya tidak terkejut dengan penganjuran program seumpama itu memandangkan kita sekarang berada hampir dengan pilihan raya,” kata beliau yang dipetik Sinar Harian Online.

Tiada ulasan: