Isnin, 26 November 2012

MP Pakatan cabar Najib bentang kertas putih skandal NFC

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (Pakatan) cabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan kertas putih skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) melibatkan dana awam berjumlah RM250 juta.

Cabaran itu dibuat oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Khalid Ibrahim, Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai), Anthony Loke (Rasah), Teresa Kok (Seputeh), Tony Pua (Petaling Jaya Utara), Tian Chua (Batu) dan Teo Nie Ching (Serdang).

Minggu lalu, Kerajaan Selangor membentangkan kertas putih pelunasan hutang Talam kepada kerajaan negeri berjumlah RM392 juta dalam sidang Dewan Negeri Selangor.

“Dalam kertas putih ini, kita telah berjaya membuktikan bahawa dakwaan kerajaan negeri ‘bailout’ hutang Talam dan berlaku penyelewengan adalah tidak benar dan tidak berasas.

“Kejayaan kita membentangkan kertas putih ini telah membuktikan pentadbiran Pakatan Rakyat bersikap telus, jujur dan tidak menyembunyikan sebarang urusniaga yang melibatkan harta milik rakyat bernilai jutaan ringgit.



“Justeru, kami selaku Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya menyediakan kertas putih skandal NFC,” kata mereka dalam kenyataan.

Mereka mahu kertas putih tersebut disertakan dengan laporan audit oleh firma antarabangsa, PriceWaterhouse Coopers dan dibentangkan kepada semua Ahli Parlimen serta diedarkan kepada media dan orang awam, sama seperti yang dilakukan Kerajaan Selangor.

“Kami mahu Kerajaan Persekutuan menerangkan kepada rakyat bagaimana dana milik rakyat ini telah dibelanjakan dan membentangkan semua perbelanjaan, pihak yang membelanjakan dan aset-aset yang dibeli untuk disemak oleh rakyat,” jelas mereka.

“Kami dapati terdapat ahli politik BN terlalu lantang mengkritik usaha Kerajaan Selangor mengutip hutang lapuk Talam tetapi menikus dalam isu skandal NFC sedangkan sudah terbukti berlaku penyelewengan dalam penggunaan wang rakyat.

“Kami percaya sekiranya Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri gagal menyediakan kertas putih, maka terbukti BN tidak jujur menguruskan harta rakyat dan tiada alasan lagi untuk rakyat terus menyokong BN pada pilihan raya akan datang,” kata kenyataan itu lagi.

Tiada ulasan: