Selasa, 13 November 2012

Empangan bekal air ke sawah padi tidak berfungsi jejas 33 petani

KENINGAU: Empangan yang membekal air sawah padi Kampung Penagatan Laut yang tidak berfungsi akibat pengorekan batu pasir di Sungai Pegalan yang tidak terkawal menyebabkan kawasan sawah 33 petani membabitkan keluasan kira-kira 75 ekar kering kontang pada musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg. Penagatan Laut, Lahamin Wasibin, berkata empangan yang tidak berfungsi itu menyebabkan padi yang telah ditanam pada musim ini terjejas dan sebahagiannya tidak tumbuh kerana ketiadaan saliran air.

Beliau mendakwa saliran air ke sawah padi penduduk tidak berfungsi disebabkan kegiatan mengorek batu pasir oleh salah sebuah syarikat kuari di Sungai Pegalan.

"Padi yang ditanam oleh petani pada musim ini tidak menjadi kerana tidak mendapat bekalan air disebabkan saliran air tidak berfungsi," katanya kepada New Sabah Times di sini kelmarin.

Justeru Lahamin yang prihatin dengan masalah anak-anak buah jagaannya meminta pihak yang berkenaan terutama Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya memantau kegiatan syarikat kuari yang menjalankan kegiatan mengorek batu pasir di Sungai Pegalan berhampiran Kg. Penagatan Laut.

"Perkara ini perlu perhatian dan tindakan segera kerana ia membabit kepentingan petani yang bergantung pada hasil padi untuk menampung sumber beras mereka," tegas Lahamin.

Lahamin yang juga Ketua Cawangan Umno Kg. Penagatan Laut berkata, beliau sudah mempunyai senarai lengkap petani yang terlibat untuk dikemukakan kepada pihak yang berkenaan.

"Sebagai pemimpin diperingkat kampung yang terlibat dengan masalah ini, saya tidak menekan Jabatan Pengairan dan Saliran kerana jabatan ini sudah menjalankan tanggungjawab dengan baik tetapi apabila kegiatan mengorek batu pasir di pesisir Sungai Pegalan yang menjadi sumber saliran air ke sawah penduduk dijalankan tidak mengikut perundangan menyebabkan masalah itu timbul," jelas Lahamin.

Beliau menambah, sistem saliran sudah ada tetapi air tidak mengalir kerana sistem saliran terjejas akibat hakisan tebing Sungai Pegalan kerana operasi syarikat kuari.-nst-

Tiada ulasan: