Ahad, 4 November 2012

DAP persoal tarikh siap baik pulih jejambat MRR2, tuntut JKR dedah jumlah sebenar


KUALA LUMPUR — DAP hari ini menuntut jawapan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) berkenaan tarikh baik pulih jejambat  Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) di Jalan Sungai Buluh-Kepong yang dilihat telah lewat dari tarikh asal.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Dr Tan Seng Giaw menegaskan, JKR juga perlu mendedahkan kos sebenar baik pulih jejambat berkenaan yang menurutnya kini berharga lebih RM100 juta.

“Saya minta JKR kemukakan kepada rakyat bila jejambat MRR2 akan siap sepenuhnya kerana ia telah jauh melepasi tarikh asal rancangan baik pulihnya pada Ogos 2008,” katanya yang dihubungi The Malaysian Insider.

“Selain itu, pihak berwajib juga perlu menyatakan keseluruhan kos baik pulih jejambat tersebut ... menurut perkiraan saya ia boleh dimasukkan ke dalam Guinnes World Record kerana bernilai lebih RM 100 juta.”
Dr Tan (foto fail) juga menjelaskan, berdasarkan kenyataan sebelum ini, jejambat itu sepatutnya siap sepenuhnya selepas dibaik pulih untuk kali kedua dalam tempoh 30 bulan projek itu dimulakan pada 2008.
“Kerajaan telah belanjakan RM70 juta sebelum ini, dan RM45 juta untuk kos baik pulih kali kedua.

“Sekarang jejambat itu masih belum siap sedangkan tarikh asal adalah 30 bulan bermula Ogos 2008,” kata Ahli Parlimen Kepong itu lagi, dan menambah JKR perlu menyatakan tahap keselamatan jejambat tersebut.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor pada 2011 berkata struktur yang terjejas di MRR2 adalah rasuk silang pier 28 telah siap sepenuhnya dengan menggunakan teknologi kabel keluli pra tegasan selepas teknologi dari Jerman yang digunakan sebelum ini mengalami kegagalan.

Pada Ogos 2008, serpihan konkrit perekat dari jejambat itu terjatuh ekoran tendon yang digunakan untuk mengukuhkan rasuk silang yang diperbuat daripada bahan Carbon Fibre Reinforced Polymer (CFRP) itu rosak akibat tindak balas kimia.

Kerja-kerja pembaikannya dimulakan pada 5 November 2009 dan 12 tendon CFRP telah siap diganti dengan tendon keluli pada 12 Disember 2010.

Shaziman menjelaskan, struktur pier 28 telah diperkukuhkan dan kini dijangka boleh digunakan sepanjang hayat.

Sebelum ini kerja-kerja pengukuhan 26 rasuk silang di jejambat MRR2 Jalan Sungai Buluh-Kepong terjejas akibat berlaku kecacatan pada CFRP yang dipasang pada Pier 28.

Sebagai langkah keselamatan, JKR telah mengarahkan kontraktor terlibat, Syarikat Bridgex Sdn Bhd untuk memasang rangka pengikat dan jaring keselamatan di rasuk silang itu bagi tujuan pengukuhan semula.

Shaziman berkata sebagai langkah keselamatan, baki 25 rasuk silang pier telah dibalut dengan jaring keselamatan untuk mencegah kejadian yang menimpa pier 28 daripada berulang.

Katanya, keseluruhan kerja-kerja baik pulih itu akan mengambil masa dua tahun setengah untuk siap dengan melibatkan kos bernilai RM45 juta.

Sebelum ini, jejambat Kepong telah tiga kali ditutup bermula 2004 apabila penduduk Kepong memaklumkan terdapat lebih 7,000 rekahan di 31 daripada 33 tiang jejambat dan dua tahun kemudian laluan itu terpaksa ditutup sepenuhnya ekoran kerosakan lebih serius dikesan di jejambat itu.

Pada Ogos 2008, jejambat Kepong ditutup buat kali ketiga kepada semua lalulintas selepas rekahan sekali lagi ditemui di tiang ke-28, memaksa kerajaan memperuntukkan lebih RM70 juta bagi membaik pulih jejambat yang boleh menampung 5,000 kenderaan pada satu masa itu.

Tiada ulasan: