Ahad, 9 September 2012

SPRM panggil 8 individu kes jual perlawanan skuad Terengganu

ZUBIR SULAIMAN

Pengarah SPRM Terengganu, Md Yusoff Md Zain
Pengarah SPRM Terengganu, Md Yusoff Md Zain
 
KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan akan memanggil  beberapa pemain bola sepak pasukan Terengganu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menjual perlawanan ketika skuad Penyu menentang Kedah.

Bagaimanapun jika perlu, SPRM turut akan memanggil semula mereka yang diambil keterangan sebelum ini mahupun pemain lain bagi melengkapkan proses siasatan.

Pengarah SPRM Terengganu, Md Yusoff Md Zain berkata, sehingga kini, seramai lapan individu telah dipanggil dan diambil keterangan mereka bagi membantu siasatan.

Menurutnya, selain individu yang dipanggil sebelum ini, terdapat beberapa individu lain yang turut dipanggil, antaranya termasuklah timbalan pengurus, jurulatih serta pemain.

“Kita masih menjalankan siasatan sejak kertas siasatan dibuka 4 September lalu dan proses siasatan masih diteruskan.

“Buat masa ini saya tidak tidak boleh memberi ulasan lanjut memandangkan siasatan itu masih diteruskan, namun apa-apa perkembangan akan kita maklumkan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri SPRM di Wisma Persekutuan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Md Yusoff mengingatkan bahawa siasatan yang dijalankan itu adalah prosedur biasa, bukannya mencari kesalahan mana-mana individu, sebaliknya menegakkan kebenaran dalam sesuatu perkara.

Sebelum ini, SPRM  mengesahkan telah menjalankan siasatan berhubung dakwaan pemain ada Terengganu terlibat menjual perlawanan ketika skuad Penyu menentang Kedah pada 1 September lalu.

Antara mereka yang dipanggil untuk memberi keterangan termasuklah Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh dan penjaga gol utama Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli, beberapa pegawai PBSNT dan juga pemain Terengganu yang lain.

Kesemua mereka yang dipanggil itu memberi kerjasama yang baik dan membolehkan SPRM menjalankan siasatan dengan lancar.

Minggu lalu, Sinar Harian menyiarkan kenyataan Sharbinee yang sanggup disiasat SPRM susulan dakwaan mengatakan dia menjual perlawanan selepas melepaskan gol mudah ketika bertemu Kedah dalam saingan peringkat kumpulan B di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, 1 September lalu.

Ketika pertemuan di laman sendiri itu, bekas penjaga gol kebangsaan itu dikatakan menjadi punca skuad penyu kehilangan tiga mata penuh apabila sekadar terikat  1-1 ketika menentang pasukan Kenari.

Tiada ulasan: