Sabtu, 15 September 2012

UIA batal auditorium, Konvensyen Fiqh pindah ke MBSA

Wartawan Sinar Harian

Zaharuddin Abd Rahman
Dr Zaharuddin Abd Rahman 
 
[DIKEMAS KINI] SHAH ALAM - Susulan pembatalan tempahan lokasi penganjuran Konvensyen Fiqh Politik Islam Semasa oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) semalam, program sehari itu akan diadakan di auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Multaqa Asatizah dan Du'at (Murshid), Dr Zaharuddin Abd Rahman menerusi laman sosial Facebook pagi ini.

"Alhamdulillah, berikut maklumat baru K Fiqh Politik Islam Semasa (setelah pihak UIAM membatalkan sewaan kami dalam tempoh 36 jam sebelum program," kata beliau.

Ketika dihubungi kemudian, beliau berkata, oleh kerana kapasiti dewan lebih besar dari tempat asal, pihaknya yakin dapat menerima kehadiran peserta dalam lingkungan 1,400 orang.

"Ada baiknya juga pembatalan (tempahan auditorium)... kami dapat tempat lebih luas, lebih ramai boleh sertai," kata Zaharuddin.

Auditorium MBSA boleh memuatkan 1,400 orang peserta berbanding Auditorium Utama UIAM yang hanya muat 850 orang.

"Sebelum ini ada 200 nama dalam senarai menuggu, yang mahu menyertai konvensyen. Kami mengalu-alukan mereka, saya yakin lebih 1,000 orang akan sertai esok," kata beliau yang juga penasihat konvensyen.

Tengah malam tadi, Sinar Harian Online membawa laporan pengurusan UIAM  mengambil tindakan 'drastik' membatalkan tempahan auditorium dua hari sebelum Konvensyen Fiqh Politik Islam Semasa berlangsung, menyebabkan pihak penganjurnya  berhadapan dengan dilema mencari lokasi baru.

Sumber urus setia konvensyen memberitahu Sinar Harian Online bahawa pihaknya terkilan dengan keputusan itu kerana pembatalan hanya dimaklumkan oleh pengurusan UIAM sekitar 9 malam semalam.

"Kami sudah menempah tempat persidangan hampir dua bulan lalu. Tetapi tinggal dua hari, baru malam ini, kami dimaklumkan.

"Jadi kami agak terkilan dengan keputusan... nampaknya kami perlu mencari tempat lain yang sesuai, untuk menampung 800 peserta," kata sumber itu lagi.

Sehingga kini usaha Sinar Harian Online untuk mendapatkan respons pihak pengurusan UIAM masih sebelum berhasil.

Sumber itu menambah, alasan yang diberikan ialah penganjuran konvensyen ini, yang dijangka disertai oleh pembentang kertas kerja dari parti politik kerajaan yang memerintah dan pembangkang, bercanggah dengan semangat Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Konvensyen sehari itu, anjuran bersama K-Fiqh Sdn Bhd dan Murshid, diadakan untuk mengupas isu-isu berkaitan politik menurut fiqh dan pandangan masa kini. Ia antara lain menghimpunkan  bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan  pensyarah UIAM, Dr Maszlee Malik.

Penganjur sebelum ini berkata, konvensyen julung kali diadakan ini, yang menyentuh politik tanah air, akan membincangkan kaedah pentadbiran dalam pemerintahan Islam dengan mengetengahkan konsep wasathiyah.

Berdasarkan maklumat awal itu, forum di sebelah malam konvensyen tersebut, wakil pemimpin parti politik akan  turut sama dalam forum bertajuk, Negara Berkebajikan: Analisa, Realiti dan Praktikaliti.

Antaranya, Timbalan Menteri Pelajaran dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr Puad Zarkashi; Ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad; Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli serta ahli akademik, Prof Datuk Dr Mohammad Bakar.

Puad, Dzulkefly dan Rafizi masing-masing dari Umno, Pas dan PKR.
Zaharuddin berkata, pihaknya kesal kerana hanya dimaklumkan keputusan pembatalan kira-kira 36 jam sebelum konvensyen berlangsung.

"Kami hormati jika dibatalkan awal, tetapi kami sudah mematuhi segala syarat keperluan. Ini termasuklah mengemukakan program konvensyen, senarai nama penceramah dan kertas kerja yang hendak dibentangkan.

"Malah, perubahan pembentang kertas kerja juga kami sudah memaklumkan. Misalnya (Ketua Pemuda Umno dan Barisan Nasional) YB Khairy Jamaluddin tidak dapat datang, digantikan oleh Dr Puad, beliau seorang timbalan menteri. Jadi kami kesal apabila tempahan auditorium dibatalkan 36 jam sebelum konvensyen," katanya lagi.

Katanya, tindakan UIAM bukan sahaja meletakkan penganjur dalam situasi sukar, malah para peserta yang telah membuat tempahan tempat tinggal dekat dengan UIAM.

"Kini mereka terpaksa mencari tempat tinggal di kawasan Shah Alam. Siapa yang akan membuat bayaran (menanggung kos)," kata beliau.

Tiada ulasan: