Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Shahril Mohamed Tarmizi berkata, pihaknya telah membuat sekatan terhadap filem itu dan sedang berusaha keras bersama Google serta pihak luar negara supaya filem tersebut tidak boleh diakses lagi di Malaysia.
Menurutnya, masyarakat di Malaysia juga perlu bersama membendung masalah semasa ini dengan tidak mengakses kepada treler filem itu lagi.
"Kita memang sudah buat tindakan, kita telah sekat tapi disebabkan teknologi makin canggih, dalam beberapa saat sahaja perkara ini akan kembali semula.
"Namun, kita telah menggandakan usaha untuk menyekat terus filem ini di Malaysia dan masyarakat juga perlu bersama SKMM untuk menghalang filem ini," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.
Semalam, penelitian Sinar Harian Online mendapati penayangan treler filem itu telah mula disekat pada lewat petang semalam, namun tidak menyeluruh.
Dalam pada itu, treler filem kontroversi berdurasi 13 minit yang dikaitkan dengan Sam Bacile dikatakan telah dimuat naik ke dalam Youtube sejak Julai lalu masih berlanjutan sepanjang hari.
Hari ini sebuah akhbar tempatan melaporkan, Ketua komunikasi dan Hal Ehwal Awam Google Malaysia, Zeffri Yusoff berkata, pihaknya telah melancarkan halaman YouTube tempatan dan akan menyekat akses filem itu setelah dikaji secara menyeluruh.
Justeru, Mohamed Shahril berkata, secara teknikal SKMM telah mengambil langkah sekatan terhadap video itu, namun kewujudan pihak yang tidak bertanggungjawab tidak dapat dibendung secara menyeluruh.
"Dari segi teknikal, kita buat macam mana pun, jika ada orang gunakan teknologi seperti salinan dan sebagainya, kita tak mampu nak bendung secara menyeluruh.
"Oleh itu, saya berharap orang ramai bersama membantu dan tidak terus mengagungkan filem tersebut lagi," katanya lagi.
Tambah beliau, SKMM berharap semua pihak di Malaysia bersama menangani masalah ini dan jangan memberi peluang kepada pihak tidak bertanggungjwab mengapi-apikan kemarahan umat Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan