Rabu, 5 September 2012

SK Sungai Kechil guna Twitter sebagai medium dengan ibu bapa

SINAR HARIAN

NIBONG TEBAL - Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kechil di sini menggunakan media sosial Twitter sebagai medium bagi menyalurkan setiap program, aktiviti atau hebahan berkaitan sekolah kepada ibu bapa dan orang awam.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Mohd Foad Mat Isa berkata sekolah berkenaan mungkin menjadi sekolah luar bandar pertama di negara ini menggunakan laman sembang sosial itu.

"Penggunaan Twitter oleh SK Sungai Kechil amat digalakkan kerana ia boleh menjimatkan kos selain mempercepatkan proses pemberitahuan sesuatu maklumat atau hebahan.

"Selepas ini semua maklumat yang hendak disampaikan termasuk mesyuarat guru akan dimaklumkan secara tweet," katanya kepada pemberita selepas melancarkan tweet secara langsung sekolah berkenaan dengan para pengguna Twitter.

Turut hadir pada majlis itu Guru Besar SK Sungai Kechil, Abdul Halim Aris.

Dalam tempoh dua jam dilancarkan, akaun Twitter sekolah itu dilayari 160 pengikut termasuk Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang.

Mohd Foad berkata beliau mencadangkan kepada pihak sekolah supaya membuat halaman khas dalam Twitter bagi membolehkan bekas murid-muridnya mengetahui mengenai kemajuan sekolah dari semasa ke semasa.

Katanya menerusi cara itu, bekas murid SK Sungai Kechil yang berjaya boleh dijadikan ikon sekolah.

"Mereka yang terpilih ini mungkin boleh kembali ke sekolah untuk memberi kata-kata semangat atau dorongan kepada pelajar sedia ada," katanya.

Sementara itu, beliau berkata sekolah itu akan mewakili Pulau Pinang ke peringkat kebangsaan selepas mendapat tempat pertama pertandingan semarak kemerdekaan baru-baru ini.    -- BERNAMA

Tiada ulasan: