Sabtu, 8 September 2012

PRU13 diramal selepas pembentangan Bajet 2013

Wartawan Sinar Harian

Ahli Parlimen Kota Belud, Abdul Rahman Dahlan
Ahli Parlimen Kota Belud, Abdul Rahman Dahlan
 
SHAH ALAM – Beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) yakin Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan diadakan pada bila-bila masa sahaja selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan dua bayangan mengenai pembubaran Parlimen dua kali dalam masa seminggu.

Ahli Parlimen Kota Belud, Abdul Rahman Dahlan berkata, pilihan raya mungkin diadakan tahun depan selepas pembentangan Bajet 2013 pada 28 September nanti kerana berkemungkinan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan diberikan kali kedua.

“Ia memerlukan masa dua hingga tiga bulan untuk melaksanakan pemberian BR1M kepada rakyat seluruh negara. Saya menjangkakan November dan Disember tidak akan diadakan pilihan raya kerana musim hujan.

“Kedua- dua bulan tersebut juga merupakan cuti persekolahan. Kebanyakan rakyat akan bercuti,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Najib yang memberikan bayangan terbaru di Kelantan mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke- 13 (PRU 13), kelmarin.

Abdul Rahman berkata, BN bersedia dari segi calon dan logistik menghadapi PRU13 pada bila-bila masa sahaja.

Bagi Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Harun, pilihan raya akan diadakan pada bila-bila masa kerana tempoh maksimum penggal ini mempunyai enam bulan sahaja lagi.

Menurutnya, apa yang penting ialah persiapan dan kesediaan parti untuk menghadapi PRU13 yang mencabar kerana kini kita dalam pusingan akhir.

“Jentera parti dan calon- calon boleh menang yang akan bertanding dalam pilihan raya akan datang perlu bersedia dan mesti bersedia menghadapi PRU13.

“Pembangkang bekerja keras untuk memenangi PRU13, oleh itu, kita perlu mencari persamaan dan mengecilkan perbezaan bagi memastikan BN berjaya,” katanya.

Tiada ulasan: