TANJONG KARANG : Pengusaha sarang burung walit mendesak kerajaan pusat agar menunda tandatangan protokol eksport produk tersebut ke China yang dijadualkan pada 20 September ini.
Jika protokol itu ditandangani ia akan menyebabkan 90 peratus daripada jumlah pengeluaran sarang burung walit di Malaysia setiap bulan tidak dapat dieksport.
Perkara demikian diutarakan dalam memorandum daripada Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Sarang Burung Walet SeMalaysia, Lim Lai Soon kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar di sini.
“Kesannya seluruh penternak akan mengalami masalah kewangan dan mengalami kesulitan untuk membayar pinjaman daripada institusi bank di Malaysia,” kata Lim Lai semasa membacakan memorandum yang diserahkan kepada Noh di sini semalam.
Beliau berkata demikian bagi mewakili sembilan persatuan yang berkaitan dengan industri burung walit negara.
Ia melibatkan Gabungan Persatuan-persatuan Perniagaan Sarang Burung Walit se Malaysia, Persatuan Penternak Malaysia, Persatuan Pengeksport Malaysia, Komiti Penyelamat Industri Burung Walit, Komiti Gerakan Burung Walit.
Turut sama, Persatuan Peniaga Burung Walit, Persatuan Industri Sarang Burung Walit Perak, Persatuan Penternak Kuala Krai dan Gabungan Persatuan-Persatuan Industri Burung Walit Pahang.
Ujar beliau lagi, syarat untuk memasang Sistem Kesan dan Jejak Dalam Talian Sarang Burung Walit yang menggunakan teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) adalah cadangan pihak-pihak tertentu untuk membolehkan mereka mengaut keuntungan.
Sebelum ini, sistem itu dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Jabatan Veterinar, di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Projek di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) isi kandungan dan infrastruktur komunikasi (CCI) itu dilancarkan pada 12 Ogos tahun lalu.
Memorandum tersebut dihantar ke Noh selepas kira-kira 300 pengusaha dan aktivis Pakatan Rakyat
mengadakan himpunan di perkarangan pejabat Umno Tanjong Karang.
Turut serta di dalam himpunan itu Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin, Adun Sekinchan, Ng Suee Lim dan Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat DUN Permatang, Yahya Shahri.
Sementara itu, Badrul Hisham berkata, industri burung walit akan mengalami kemerosotan ekoran isu-isu yang tidak ditangani dengan baik oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Ujarnya, kerajaan masih tidak menyelesaikan isu-isu tersebut walaupun pengusaha sarang burung walit sudah kerap kali bertemu kementerian.
“Ada beberapa isu yang tidak didengari, dan pengusaha pergi berjumpa dengan Adun Sekinchan, Ng Suee Lim dan bertemu dengan pihak Pakatan Rakyat.
“Kami bertindak sebagai ‘posmen’ bagi menyampaikan masalah ini,” kata Badrul Hisham bila ditemui.
ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, tidak wujud persoalan pihak Pakatan mempolitikkan isu pengusaha sarang burung walit kerana masalah ini sudah berlanjutan sejak lebih setahun.
Ujar Ng, selepas aduan dikemukakan kepada pihaknya barulah isu ini di bawa kepada kementerian untuk diambil perhatian serius.
“Saya minta pihak kerajaan agar memulihkan semula perniagaan sarang Burung Walet ini secara perniagaan bebas jangan kongkong dan ada pihak yang memonopoli,” kata Suee Lim.
Sementara itu, Noh mengakui kelemahan di pihaknya dalam menangani isu sarang burung walit.
“Sebab itu markah KPI saya gagal untuk masalah rumah sarang Burung Walit. Saya ambil itu sebagai tanggungjawab. Ini adalah masalah sejak tahun lepas,” katanya semasa majlis serahan memorandum itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan