Selasa, 4 September 2012

PR : Naik Gaji Polis Jika Tadbir Putrajaya

63 views

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat(PR) menawarkan kenaikan gaji kepada anggota polis sebagai inisiatif pemangkin sekiranya berjaya mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ini merupakan antara tiga tawaran penambahbaikkan institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar dapat bertindak lebih efisyen dalam menjaga keselamatan awam.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali tawaran ini menjadi antara agenda PR dalam menifesto pilihan raya akan datang.

Menurutnya, jumlah kenaikkan yang dicadangkan akan diumumkan kelak

 “Kita bersetuju dengan suasana yang ada dan pemerhatian yang diberikan kepada bahagian ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.

Dua tawaran kerangka utama lain adalah pembahagian semula sumber manusia dan meningkatkan teknologi siasatan.

“Strategi utama adalah pembahagian semula kakitangan PDRM.

“Bukan kita nak tambah tapi tempat yang tidak kritikal kita tambah ke tempat yang lebih kritikal.

“Yang kritikal adalah untuk melawan jenayah. Kalau mengikut standard ukuran yang betul-betul efektif dari segi IO (investigating officer) sebulan kena ada 5 sahaja.

“Sekarang ada 20. Ini tidak baik sebab itu banyak kes yang tidak dapat diselesaikan dalam tempoh masa munasabah,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata PR tidak bercadang untuk menambah kepada 80,000 anggota polis menjelang 2015 seperti yang diumumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, langkah ini dapat menguruskan kewangan negara dengan lebih baik dan memberikan banyak manfaat kepada negara.

Sementara itu, PR turut bersedia menghadapi PRU-13 sekiranya diadakan pada November meskipun angka 11 mempunyai signifikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mustafa berkata, perkara utama kini adalah PR sudah bersedia untuk berhadapan Umno-BN.

“Nombor magik ’11′ mungkin boleh diterima pakai, namun belum tentu nasib mereka baik (Umno-BN)

“Pernah PRU pada November tapi mereka kalah,” katanya.

Pada PRU ke-10 pada tahun 1999, PR yang pada ketika itu dikenali sebagai Barisan Alternatif berjaya menawan Terengganu dan mengekalkan Kelantan yang terus dipimpin oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tiada ulasan: