Sabtu, 15 September 2012

PKR kutuk filem hina Nabi Muhammad

Filem itu adalah hasil usaha satu dakyah untuk mengguris sensitiviti perasaan umat Islam hingga menimbulkan rusuhan. 



PETALING JAYA:  Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk sekeras-kerasnya filem terbaru anti Islam yang menghina Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.

“Filem itu adalah hasil usaha satu dakyah untuk mengguris sensitiviti perasaan umat Islam hingga menimbulkan rusuhan, hendaklah ditarik balik dan harus dikecam oleh semua pemimpin dunia,” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Seorang rakyat Amerika Syarikat berbangsa Yahudi, Sam Bacile telah menerbitkan filem bertajuk “Innocence of Muslims” yang menghina Rasulullah saw hingga mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Menurut Anwar yang juga ketua umum PKR, satu garis sempadan haruslah dibuat di antara pencabulan dan kekufuran pada satu pihak dan kebebasan bersuara atau lesen artistik di satu pihak yang lain.

Amerika Syarikat mestilah bertanggungjawab terhadap individu yang menerbitkan filem yang menjijikkan dan hina ini serta membuktikan bahawa hak kebebasan bersuara tidak boleh disalahgunakan untuk tujuan menimbulkan jenayah kebencian.

“Kami dengan tegasnya mengutuk pembunuhan Duta Besar Amerika Syarikat ke Libya serta individu lain yang tidak bersalah dan menyeru kepada umat Islam yang menghargai keamanan agar tidak mengambil tindakan yang terburu-buru,” katanya.

Ujar beliau, “jelas sekali dalang di sebalik filem ini mahu menunjukkan kebencian dan persengketaan di antara agama dan manusia.

Untuk beralih kepada kegansan dan kemusnahan adalah dengan mengikut telunjuk mereka.

Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menegaskan, filem yang memalukan ini bukan sahaja menyinggung umat Islam diseluruh dunia, malah terhadap semua agama.

“PKR sekali lagi menyeru kepada semua pemimpin di seluruh dunia untuk memperbaharui usaha untuk meningkatkan hubungan antara agama, terlibat dalam dialog yang lebih besar dan tidak membenarkan salah faham serta niat jahat menggelapkan minda kita,” katanya.

Tiada ulasan: