Jumaat, 14 September 2012

Pilihan Raya Berasingan, Noh Perlu Hormati Pendirian Kerajaan Selangor




SHAH ALAM :  Noh Omar perlu menghormati Kerajaan Negeri Selangor yang mahu mengadakan pilihan raya berasingan dengan Kerajaan Pusat bagi memberi peluang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pemilih di negeri itu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Riduan Mohd Nor berkata tindakanTimbalan Pengerusi Perhubungan Umno itu sepatutnya menuding jari kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak yang merahsiakan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) daripada pengetahuan rakyat

“Dalam keadaan PRU ke-13 semakin hampir, Noh semakin lantang bersuara. Hampir semua isu beliau ulas seolah-olah beliau adalah pemimpin yang cerdik dan serba boleh.

“Namun bagi rakyat yang memahami isu sebenar, akan mentertawakan kenyataan Noh Omar.

“Nampak sangat beliau bercakap mengikut hawa nafsu dan secara semberono tanpa fakta yang kukuh,” kata Riduan dalam kenyataan medianya.

Ujar Riduan lagi, jika Najib selaku Perdana Menteri berani serahkan mandat kepada rakyat, maka tidak perlu disembunyikan tarikh PRU daripada rakyat.

“Mengadakan PRU seperti serkap jarang adalah tindakan penakut pemimpin yang tidak mahu hadapi kenyataan,” katanya.

Tambah beliau lagi, Noh seperti naif atau pura-pura tidak mengerti realiti sebenar sistem pilihan raya di Malaysia yang menjadi pertikaian banyak pihak.

“Dalam keadaan daftar pemilih yang mencurigakan apabila ditemukan sejumlah ratusan ribu pengundi ragu dalam senarai daftar pemilih khususnya di Selangor .

“Penambahan pengundi mendadak di DUN atau Parlimen tertentu secara tidak munasabah, serta dakwaan wujudnya pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing.

“Apakah dalam keadaan begini wajar diadakan PRU ke 13 di Selangor serentak dengan Kerajaan Pusat,” katanya.

Ujar Riduan, apa yang penting, Pakatan Rakyat mahu pastikan rakyat Selangor menikmati pilihan raya yang benar-benar adil, demokratik dan telus.

Tiada ulasan: