Oleh S.M.Mohamed Idris |
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjalankan operasi dengan lebih kerap di perairan Pulau Pinang khususnya di Daerah Barat Daya bagi mengawal pencerobohan bot pukat tunda di kawasan nelayan pantai di negeri ini.
Masalah yang semakin serius berlaku itu melibatkan lebih 2,000 nelayan pantai di sepuluh tempat iaitu Sungai Pinang,Pantai Acheh,Jalan Baru,Sungai Burung,Teluk Kumbar,Sungai Batu,Gertak Sanggul,Telok Tempoyak,Permatang Damar Laut dan Batu Maung.
Berikutan kejadian tersebut sumber pendapatan nelayan-nelayan pantai yang terlibat telah merosot dari lebih RM100.00 sehari kepada RM20.00 sehari. Kegiatan bot-bot pukat tunda itu bukan saja menyebabkan ikan dan udang yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan-nelayan pantai di sini berkurangan dan semakin pupus malah perairan Zon A serta dasar laut di daerah tersebut telah tercemar pada tahap yang membimbangkan. Ramai nelayan pantai mengalami kerugian besar kerana alat tangkapan mereka musnah dilanggar oleh bot-bot pukat tunda tersebut
Bot-bot pukat tunda yang menceroboh kawasan nelayan pantai di sini berpengkalan di Batu Maung dan Teluk Bahang dan menjalankan aktiviti mereka pada waktu malam dengan menjadikan kawasan antara 1 batu nautika hingga 3 batu nautika dari pantai sebagai tempat beroperasi.
CAP menerima aduan dari nelayan pantai bahawa hasil tangkapan bot pukat tunda bukan saja ikan bersaiz besar tetapi juga anak ikan kecil (benih) yang tidak boleh dimakan dan dipasarkan. Ikan kecil ini dijadikan ikan baja untuk makanan ternakan ikan dalam sangkar oleh pengusaha-pengusaha projek akuakultur tempatan. Setiap buah bot pukat tunda di negeri ini mendaratkan 5 tan hingga 7 tan anak ikan kecil berbagai jenis termasuk beberapa jenis ikan yang berkualiti tinggi. CAP bimbang dan percaya jika keadaan ini berterusan dalam masa 10 tahun akan datang sumber perikanan di negara ini akan mengalami kepupusan.
Sehubungan itu CAP meminta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Jabatan Perikanan memberi perhatian serius dan mengambil langkah segera bagi menangani masalah ini. CAP kesal walau pun wajud Akta Perikanan 1985 bersama jabatan serta agensi penguatkuasa bagi untuk mengawal keadaan tersebut namun ia tidak memberikan kesan positif terhadap kehidupan nelayan pantai di negeri ini. CAP bersama aktivis nelayan pantai Pulau Pinang merancang untuk melancarkan kempen tandatangan Haramkan Penggunaan Pukat Tunda dalam masa terdekat.
Presiden CAP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan